Tuesday, December 4, 2007

Ferenc Puskas - Lagenda Hungary

Ferenc Puskas (2 April 1927 – 17 November 2006) adalah lagenda bola sepak Hungary dan antara penyerang terbaik sepanjang zaman. Beliau menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan antarabangsa untuk Hungary dan 514 gol dalam 529 perlawanan liga Hungary dan Sepanyol, satu statistik yang tidak mungkin dicapai mana-mana pemain hingga ke hari ini.

Beliau bermain untuk Honvéd sebelum menyertai Real Madrid dan kemudiannya mewakili Sepanyol. Sepanjang 1950-an, beliau adalah pemain dan ketua pasukan barisan lagenda Hungary yang diberi jolokan Mighty Magyars bersama-sama pemain-pemain lain yang terdiri daripada Zoltán Czibor, Sándor Kocsis, József Bozsik dan Nándor Hidegkuti. Pada tahun 1958, 2 tahun selepas revolusi, Puskas berpindah ke Sepanyol menyertai kelab terbaik Eropah ketika itu yang dibarisi Alfredo Di Stéfano, Francisco Gento, Raymond Kopa, Héctor Rial dan José Santamaria.

Walaupun bertubuh pendek dan hanya mahir menggunakan sebelah kaki, Puskas digeruni dengan rembatan kaki kirinya yang menjadikannya penjaring terbanyak liga Hungary sebanyak 4 kali dan penjaring terbanyak Eropah pada tahun 1948. Ketika bermain bersama Real Madrid, beliau memenangi 4 Pichichis dan menjaringkan 7 gol dalam 2 perlawanan akhir kelab-kelab Eropah. Beliau juga dinobatkan sebagai penjaring terbanyak abad ke-20 oleh IFFHS pada tahun 1995.

Selepas bersara sebagai pemain Puskas meneruskan kariernya sebagai jurulatih dan beliau berjaya membawa Panathinaikos FC ke perlawanan akhir Piala Eropah pada tahun 1971 namun tewas 2-0 kepada Ajax yang ketika itu dibarisi lagenda Belanda, Johan Cryuff.



Karier bersama Hungary.
Puskas melakukan penampilan pertamanya untuk Hungary pada 20 Ogos 1945 dan menjaringkan gol dalam kemenangan 5-2 menewaskan Austria. Beliau menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan untuk Hungary. Bersama-sama Zoltán Czibor, Sándor Kocsis, József Bozsik dan Nándor Hidegkuti, mereka menjadikan pasukan Hungary sebagai satu kuasa bola sepak yang digeruni ketika itu dengan mencatatkan rekod tidak pernah tewas dalam 32 perlawanan antarabangasa berturut-turut.

Mereka muncul sebagai juara Olimpik pada 1952 menewaskan Yugoslavia 2-0 dalam perlawanan akhir di Helsinki dan Puskas menjaringkan 4 gol sepanjang kejohanan termasuk gol pertama dalam perlawanan akhir. Mereka juga 2 kali memberi pengajaran kepada England apabila pada tahun 1953 muncul pasukan bukan British pertama menewaskan England di Stadium wembley dengan jaringan 6-3, kemudiannya membelasah England 7-1 di Budapest setahun berikutnya. Puskas menjaringkan 2 gol dalam kedua-dua perlawanan. Pada tahun 1953, Hungary muncul juara Eropah Tengah (Central European Champions) dan Puskas menjadi penjaring terbanyak kejohanan dengan 10 gol termasuk 2 gol ketika menewaskan Itali 3-0 di Stadio Olimpico untuk membawa pulang piala.

Turun dengan reputasi sebagai pasukan pilihan pada Piala Dunia 1954, Hungary menewaskan Korea Selatan 9-0 dan Jerman Barat 8-3 dalam saingan peringkat kumpulan namun Puskas mengalami kecederaan pergelangan kaki dalam perlawanan berikutnya setelah dikasari Werner Liebrich dan hanya kembali dalam perlawanan akhir. Walaupun tidak bermain nama Puskas muncul di tengah-tengah kontroversi dalam perlawanan menentang Brazil di peringkat suku akhir yang digelar Battle of Berne. Ketika perlawanan ditamatkan, Puskas yang berada di bangku penonton menghentak pemain Brazil, Pinheiro dengan botol dan menyebabkan pemain tersebut menerima 3 jahitan di kepala.

Walaupun masih belum cergas sepenuhnya Puskas diturunkan dalam perlawanan akhir menentang Jerman Barat yang mereka tewaskan 8-3 di peringkat kumpulan. Beliau menjaringkan gol ke-4 sepanjang kejohan untuk Hungary mendahului 1-0 pada minit ke-6. Selepas Czibor menjaringkan gol ke-2 Hungary dua minit kemudian, gelaran juara dunia dilihat sudah berpihak kepada Hungary. Walaubagaimanapun Jerman Barat yang terkenal dengan semangat melawan menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama dan Hungary gagal memanfaatkan peluang pada separuh masa kedua. Jerman Barat berjaya menjaringkan gol kemenangan 6 minit sebelum tamat permainan dan menamatkan rekod tanpa kalah Hungary dengan kekalahan 3-2. Walaupun Puskas berjaya menjaringkan gol 4 minit selepas itu, jaringannya tidak dikira kerana ofsaid. Kekalahan tersebut menjadikan Hungary sebagai salah satu pasukan hebat sepanjang zaman yang gagal memenangi Piala Dunia selain Belanda yang menerima nasib sama pada tahun 1974, juga di tangan Jerman Barat.


Karier di Sepanyol.
Puskas menyertai Real Madrid pada tahun 1958 ketika usianya mencecah 31 tahun dan beliau menjaringkan 4 hatrik dalam musim pertamanya bersama Real Madrid termasuk satu hatrik dalam perlawanan keduanya menewaskan Sporting de Gijón. Puskas mencipta 2 hatrik ketika menewaskan Barcelona di Bernabéu dan di Camp Nou pada tahun 1963. Sepanjang 8 musim bersama Real Madrid, Puskas menjaringkan 156 gol dalam 180 penampilan liga dan beliau menjaringkan lebih daripada 20 gol dalam setiap 6 musim Liga Sepanyol, melayakkan beliau memenangi Pichichi sebanyak 4 kali pada tahun 1960, 1961, 1963 dan 1964. Beliau turut membantu Real memenangi La Liga 5 kali berturut-turut dari tahun 1961 hingga 1965, juga kejuaraan Copa del Generalísimo pada tahun 1962 menewaskan Sevilla 2-1 dengan kedua-dua jaringan dilakukan oleh Puskas.

Puskas mewakili Real Madrid 39 kali di peringkat Eropah dan menjaringkan 35 gol. Beliau membantu Real ke perlawanan akhir kelab Eropah pada tahun 1959 apabila menjaringkan gol menewaskan Atletico Madrid namun terlepas aksi akhir kerana kecederaan. Walaubagaimanapun beliau bangkit musim berikutnya apabila memulakan kempen dengan jaringan hatrik menewaskan Jeunesse Esch seterusnya menewaskan FC Barcelona dalam saingan separuh akhir dengan jaringan hatrik dalam kedua-dua perlawanan timbal balik. Dalam perlawanan akhir yang disifatkan sebagai perlawanan akhir terbaik sepanjang zaman, Real menewaskan Eintracht Frankfurt 7-3 dengan 4 gol dari Puskas dan 3 oleh Di Stefano. Beliau turut menjaringkan hatrik dalam perlawanan akhir 1962 ketika mereka tewas 5-3 di tangan Benfica. Beliau menjaringkan 5 gol ketika menewaskan Feyenoord dalam membawa generasi muda Real Madrid menjulang Piala Eropah pada tahun 1966.


Puskas mendapat kewarganegaraan Sepanyol pada tahun 1962 dan mewakili Sepanyol sebanyak 4 kali dan 3 daripadanya adalah pada Piala Dunia 1962 namun beliau gagal menjaringkan gol untuk Sepanyol.


Karier sebagai jurulatih.
Setelah bersara sebagai pemain, Puskas meneruskan karier sebagai jurulatih di Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika, Asia dan Australia. Kejayaan terbesar beliau adalah membawa Panathinaikos FC ke perlawanan akhir Piala Eropah 1971 dan kekal sebagai satu-satunya pasukan Greek yang berjaya ke perlawanan akhir hingga ke saat ini.
Selepas menumpaskan Everton di suku akhir dengan kelebihan jaringan di tempat lawan , Panathinaikos bangkit menewaskan Red Star Belgrade 4-1 di separuh akhir selepas tewas 1-0 perlawanan pertama. Perlawanan akhir menyaksikan kepulangan Puskas ke Wembley namun mereka tunduk 2-0 kepada pasukan terbaik Eropah ketika itu, Ajax Amsterdam yang dibarisi Johan Cruyff.

Puskas membantu Panathinaikos muncul juara Greek sebanyak 2 kali tetapi gagal meneruskan kecemerlangannya sehinggalah pada tahun 1991 apabila beliau membawa South Melbourne Hellas menjuarai liga Australia (National Soccer League).



Puskas disahkan menghidap Alzheimer pada tahun 2000 dan beliau meninggal dunia tanggal 17 November 2006 akibat pneumonia. Kehilangan Puskas begitu dirasai peminat-peminat bola sepak seluruh dunia dan beliau kekal sebagai lagenda penyerang berbisa yang tiada tolok bandingnya.