Monday, June 23, 2008

Gosip Terkini

Andrei Arshavin memberi kenyataan kepada media Sepanyol bahawa beliau menerima tawaran daripada kelab di England dan Jerman, namun beliau lebih berminat untuk beraksi di Sepanyol bersama Barcelona.

Real Madrid sanggup membayar berapa saja bayaran yang diletakkan oleh Manchester United untuk membawa Ronaldo ke Santiago Bernebaeu.

Cristiano Ronaldo bakal mengeluarkan kenyataan secara rasmi tentang keinginannya untuk ke Real Madrid musim depan.

Zinadine Zidane menyifatkan perpindahan Ronaldo ke Real Madrid adalah tepat.

Pengurus baru Chelsea, Luiz Felipe Scolari menyifatkan bahawa Manchester United tidak akan mampu menghalang Ronaldo untuk meneruskan impiannya berpindah ke Real Madrid.

Scolari ingin mendapatkan Deco dengan bayaran 12 juta pound dari Barcelona. Namun Roman Abromovich mengarahkan beliau untuk melupakan hasratnya kerana pemilik Chelsea tersebut telah meletakkan Andrei Arshavin sebagai sasaran utamanya.

Ronaldinho mengeluarkan kenyataan bahawa beliau berminat untuk beraksi di England.

Ketika ditanya bagaimana England boleh mengalahkan Russia 3-0 di Wembley ketika dalam pusingan kelayakan, Guus Hindik menyifatkan "England had a good day that day, their only one."

Restoran di Basel menjual habis kesemua makanan 45 minit sebelum pertemuan Belanda dan Russia disebabkan penyokong Oranje yang membanjiri bandar tersebut lebih ramai daripada penduduk setempat.

Alena Seredova, isteri kepada Gianluigi Buffon menyatakan bahawa beliau meminati 2 orang rakan sepasukan Buffon.

"Saya begitu ghairah setiap kali melihat suami saya menyelamatkan bola. Namun sebagai wanita, saya harus mengakui bahawa 2 orang pemain paling seksi berada di bangku simpanan - Fabio Cannavaro dan Marco Borriello."

Apple Online Store


Casillas Bawa Sepanyol ke Separuh Akhir

Sepanyol mengalahkan Itali 4-2 dalam penentuan sepakan penalti setelah perlawanan berkesudahan 0-0 sehingga tamat permainan masa tambahan di Vienna.

Marcos Senna hampir menjaringkan gol kemenangan setelah Gianluigi Buffon gagal mendakap bola dengan kemas sebelum terkena palang.

Iker Casillas menjadi hero Sepanyol apabila menghalang 2 sepakan penalti Itali, daripada Daniele de Rossi dan Antonio di Natale. Sepakan Daniel Guiza diselamatkan Buffon namun Cecs Fabregas memastikan Sepanyol layak ke separuh akhir untuk bertemu Russia.

Pertemuan Sepanyol dan Itali gagal mempamerkan aksi terbaik dengan Itali mengekang segala asakan daripada Sepanyol dan Casillas gagal diuji Antonio Cassano dan Luca Toni.

Sepanyol kini bakal berdepan Russia, pasukan yang mereka tewaskan 4-1 di peringkat kumpulan. Walaubagaimanapun keputusan kali ini mungkin berbeza dengan kembalinya Andrei Arshavin yang menjadi pemusnah Sweden dan Belanda.


Fakta Perlawanan

Sepanyol muncul satu-satunya juara kumpulan yang layak ke peringkat separuh akhir dengan Belanda, Croatia dan Portugal masing-masing tersingkir.

Sepanyol layak ke separuh akhir buat kali pertama sejak 1984, kalah kepada Perancis dalam perlawanan akhir.

Itali tewas penentuan sepakan penalti buat kali ke-5, menyamai rekod yang dipegang England.

Itali melebarkan rekod membabitkan 7 keputusan seri di peringkat antarabangsa yang dipegangnya sebelum ini.

Sepanyol melebarkan rekod tidak tewas dalam 20 perlawanan berturut-turut.
Sepanyol menamatkan sumpahan 22 Jun. Tarikh yang menyaksikan mereka tersingkir daripada 3 kejohanan besar menerusi penentuan sepakan penalti.

Apple Online Store

Belanda Tersungkur

Russia 3-1 Belanda

Guus Hiddink menjadi duri dalam daging buat Belanda apabila menyingkirkan negara kelahirannya daripada Euro 2008 dalam saingan suku akhir untuk menempah tiket ke separuh akhir bertemu sama ada Sepanyol atau pun Itali.

Belanda yang sebelum ini dletakkan sebagai pasukan pilihan setelah membelasah Itali, Perancis dan Romania gagal mengekalkan rentak yang sama sebaliknya tenggelam dalam asakan Russia yang diketuai Andrei Arshavin dan Roman Pavlyuchenko.

Belanda terpaksa beraksi tanpa Arjen Robben yang mengalami kecederaan paha namun mereka masih mampu turun dengan kesebelasan utama sepertimana ketika membenam Itali 3-0 di peringkat kumpulan. Van Nisterlrooy gagal menampan bola hasil sepakan percuma Van Der Vaart di depan gol dan bermula detik itu Russia lebih banyak mengawal permainan dan mengasak kubu Belanda. Roman Pavlyuchenko yang sebelum ini dikritik kerana banyak mensia-siakan peluang di depan gol tidak mengulangi kesilapannya sebaliknya menjaringkan gol pertama Russia pada minit ke-56.

Belanda yang terdesak mencari gol penyamaan gagal melakukan hantaran-hantaran kemas dan percaturan Hiddink nyata membuahkan hasil. Ketika Russia sudah kelihatan bakal ke peringkat separuh akhir buat kali pertama selepas 20 tahun, Van Nistelrooy mengejutkan barisan Russia apabila berjaya menanduk masuk gol penyamaan yang berpunca daripada sepakan percuma Wesley Sneijder minit ke-86 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Namun skuad kendalian Van Basten kelihatan tidak bermaya untuk menharungi tempoh 120 minit dan keadaan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Russia. Arshavin meletakkan dirinya sebagai antara calon pemain terbaik kejohanan apabila hantaran lambungnya setelah mengucar-kacirkan pertahanan Belanda gagal dikeluarkan oleh Van Der Sar dan mudah ditampan masuk oleh Torbinsky minit ke-112. Van Der Sar yang bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Russia sebelum itu akhirnya tertewas lagi menerusi rembatan leret Arshavin di celah-celah kakinya 5 minit sebelum tamat.
Van Basten yang menjulang Euro pada tahun 1988 sebagai pemain gagal meneruskan impiannya untuk menjulang piala yang sama sebagai jurulatih dan segala-galanya berakhir di tangan seorang lagi rakyat Belanda, Guus Hiddink.
Kejayaan Russia ke separuh akhir mengubat luka Hiddink setelah tersingkir di peringkat suku akhir 1996, tewas di tangan Perancis melalui penentuan sepakan penalti.

Fakta perlawanan

Belanda tersingkir dari suku akhir kejohanan Euro buat kali kedua setelah tersingkir di peringkat yang sama pada 1996, yang ketika itu dikendalikan oleh Guus Hiddink.
Edwin Van Der Sar berjaya menyamai rekod penampilan Euro oleh Lilian Thuram iatu 16 penampilan.
Russia layak ke peringkat separuh akhir buat kali pertama sejak melakukannya pada 1988 yang ketika itu masih dalam Kesatuan Soviet (Soviet Union).
Ruud Van Nistelrooy menjaringkan gol keenamnya dalam Euro, meletakkan beliau di tempat ke-3 di belakang Alan Shearer (7) dan Michel Platini (9) sebagai penjaring terbanyak kejohanan Eropah.

Apple Store

Saturday, June 21, 2008

Turki Terus Lakar Kejutan

Turki bakal bertemu dengan Jerman di separuh akhir Euro 2008 setelah menewaskan Croatia melalui penentuan sepakan penalti dalam aksi penuh dramatik pagi tadi.

Kedua-dua pasukan buntu mencari gol kemenangan dalam tempoh 90 minit permainan dengan peluang terbaik Croatia menerusi Ivica Olic terkena palang. Rustu menjadi penyelamat Turki apabila berjaya menepis keluar sepakan percuma Darijo Srna minit ke-83 untuk membawa perlawanan ke aksi masa tambahan.

Croatia mempamerkan permainan cantik sepanjang perlawanan namun gagal memecahkan benteng pertahanan Turki yang dikawal Rustu, Emre Asik dan Zan.

Skuad Bimbingan Billic hampir menempah tiket bertemu Jerman di separuh akhir setelah kesilapan Rustu membolehkan Klasnic menanduk masuk gol Croatia 1 minit sebelum tamat masa tambahan. Saat Croatia ghairah meraikan gol yang dianggap mereka sebagai gol kemenangan, Turki yang sebelum ini menjaringkan gol lewat permainan ketika menewaskan Switzerland dan Republic Czech menyentak semangat pemain dan penyokong Croatia dengan gol penyamaan 30 saat sebelum berakhirnya masa tambahan. Berpunca daripada sepakan Rustu ke dalam kotak penalti Croatia, Semih merembat cantik menewaskan Pletikosa setelah 2 pemain pertahanan Croatia gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Semangat Croatia terus merudum apabila sepakan penalti pertama Luca Modric tersasar. Rustu melenyapkan kesilapan awal beliau dengan menyelamatkan sepakan Petric untuk membawa Turki ke separuh akhir bertemu Jerman.

Friday, June 20, 2008

Jerman Jinakkan Portugal

Jerman 3 - 2 Portugal

Jerman muncul pasukan pertama menempah tiket ke separuh akhir Euro buat kali pertama sejak 1996 setelah menjinakkan pasukan pilihan, Portugal 3-2 dalam aksi suku akhir pertama pagi tadi.

Skuad bimbingan Luiz Felipe Scolari yang dibarisi bakal pemenang "Pemain Terbaik Dunia" tahun ini, Cristiano Ronaldo terpaksa tunduk kepada percaturan taktikal Jerman yang membariskan 5 pemain di bahagian tengah dengan Bastian Schweinsteiger kembali beraksi setelah penggantungan.

Jerman menjaringkan 2 gol dalam tempoh 4 minit separuh masa pertama menerusi Schweinsteiger minit ke-22 dan Klose minit ke-26. Berpunca daripada hantaran Lucas Podolski dari sebelah kiri, Schweinsteiger pantas menampan bola untuk menewaskan Ricardo dan sepakan percuma beliau 4 minit kemudian ditanduk kemas Klose untuk jaringan kedua Jerman.

Portugal mensia-siakan peluang terbaik mereka menerusi Pepe apabila tandukan beliau di depan pintu gol melepasi palang. Berpunca daripada hantaran Simao, Ronaldo berjaya melakukan percubaan ke arah pintu gol Jerman namun berjaya ditepis Lehman dan Nuno Gomez pantas menolak masuk bola muntah di depan gol walaupun cuba diselamatkan oleh Christoph Metzelder.

Skuad Portugal yang sebelum ini dilihat memiliki kelebihan gagal mengekang asakan Jerman dan berpunca daripada sepakan percuma Schweinsteiger, Jerman menambah gol ketiga apabila Ballack gagal dikekang rakan sepasukan beliau di Chelsea, Paulo Ferreira untuk menanduk masuk menewaskan Ricardo dari sudut yang sama seperti gol kedua.

Portugal kehilangan momentum dan Lucas Podolski hampir menambah gol keempat Jerman namun rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri tiang gol Portugal. Kemasukan Nani dan Postiga memberikan sedikit harapan buat skuad Scolari apabila Postiga menanduk masuk gol kedua Portugal setelah menerima hantaran lintang daripada Nani pada minit ke-87.

Walaubagaimanapun Jerman menampilkan aksi kemas sepanjang tempoh 4 minit masa kecederaan untuk memastikan mereka layak ke separuh akhir, menghampakan Portugal yang membawa harapan besar setelah gagal pada perlawanan akhir Euro 2004 di tangan Greece.

Kekecewaan jelas terbayang di wajah Scolari yang selepas ini perlu memikirkan masa depannya bersama Chelsea setelah gagal membawa Portugal menjulang Portugal menjulang sebarang piala dalam tempoh hampir 6 tahun perkhidmatannya. Begitu juga Cristiano Ronaldo yang dilanda kontoversi perpindahannya ke Real Madrid semenjak sebelum kempen Euro 2008 bermula dan beliau perlu memberi kata putus untuk menamatkan segala teki-teki yang sedikit sebanyak mengganggu konsentrasinya sepanjang Euro kali ini.

Bagi Jerman, kemenangan ini meletakkan mereka di landasan tepat untuk mengulangi kejayaan menjulang Euro 1996 selain menebus kekecewaan tersingkir awal pada 2000 setelah dibelasah Portugal dan tewas 2004 di tangan Czech Republic.


Site Build It!

Thursday, June 19, 2008

Russia Tempah Tiket Bertemu Belanda

Russia menewaskan Sweden 2-0 di Innsbruck untuk menempah tiket bertemu dengan negara kelahiran Hiddink, Belanda di suku akhir.

Kembalinya Andrei Arshavin ke dalam pasukan buat kali pertama setelah penggantungan 2 perlawanan memberi inspirasi buat Russia untuk mengejutkan Sweden yang sebelum ini diramal bakal mengiringi Sepanyol ke suku akhir.

Roman Pavlyuchenko menjaringkan gol pertama Russia hasil umpanan Aleksandr Anyukov pada minit ke-24 sebelum Arshavin menjaringkan gol kedua minit ke-50.

Kejayaan Russia melepasi peringkat kumpulan kali ini adalah yang pertama sejak 1988 yang ketika itu juga sebagai naib juara kumpulan di belakang Belanda, pasukan yang menewaskan mereka pada perlawanan akhir 1988 dan yang bakal mereka tentang di suku akhir nanti.

Lebih manis, Guus Hiddink meneruskan rekod tidak pernah gagal ke pusingan kedua mahupun ke suku akhir sejak membawa Belanda dan Korea ke separuh akhir Piala Dunia 1998 dan 2002, juga Australia ke pusingan kedua Piala Dunia 2006.


Jadual Perlawanan Suku Akhir:

Khamis: Jerman lwn Portugal

Jumaat: Croatia lwn Turki

Sabtu: Belanda lwn Russia

Ahad: Sepanyol lwn Itali

Wednesday, June 18, 2008

Perancis Tersungkur

Kecederaan Frank Ribery dan layangan kad merah ke atas Eric Abidal membawa malang buat Perancis apabila tewas 2-0 kepada Itali dan gagal ke pusingan suku akhir.
Andrea Pirlo meletakkan Itali di depan setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-25 berpunca daripada kesilapan Abidal menjatuhkan Luca Toni dalam petak penalti. Abidal dilayangkan kad merah, menambah derita Perancis setelah kehilangan khidmat Ribery yang dibentes Zambrotta awal permainan.

Kemasukan Samir Nasri gagal memberi impak di bahagian tengah dan Tierry Henry gagal membantu Perancis mencari gol penyamaan. Sebaliknya beliau menghadiahkan Itali gol kedua apabila sepakan percuma Daniele De Rossi terkena kaki Henry sebelum menerjah jaring.

Kedua-dua pasukan perlu menang untuk menempah tiket bertemu Sepanyol pada peringkat suku akhir di Vienna Ahad ini sambil mengharapkan Romania gagal menumpaskan Belanda. Walaubagaimanapun Belanda yang membariskan kesebelasan kedua mereka melengkapkan kemenangan hatrik ke atas Romania dan keputusan ini meletakkan Itali selaku naib juara Kumpulan C. Namun mereka bakal berdepan Sepanyol tanpa khidmat 2 tonggak utama mereka, Gennaro Gattuso dan Andrea Pirlo yang digantung perlawanan setelah kedua-duanya menerima kad kuning.

Raymond Domenech melakukan pertukaran di bahagian pertahanan dengan membariskan semula Eric Abidal menggantikan Lilian Thuram yang kelihatan goyah dalam perlawanan yang menyaksikan Perancis dibelasah Belanda 4-1. Namun keputusan ini nyata memberi padah kepada Perancis yang terpaksa bermain 10 pemain sepanjang 65 minit.

Itali berjaya menebus kekecewaan mereka setelah tersingkir awal pada Euro 2004 manakala Perancis tersungkur dengan hanya mampu menjaringkan 1 gol sepanjang kejohanan, mengingatkan kembali persembahan hambar mereka pada Piala Dunia 2002 ketika Zidane dilanda kecederaan. Ketiadaan Zidane buat pertama kalinya dalam tempoh sedekad dalam kejohanan antarabangsa memberi tamparan hebat buat Perancis dengan barisan generasi emas sudah menghampiri penghujung karier masing-masing dan barisan muda gagal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zidane, menandakan juga berakhirnya dinasti Domenech.
Pertarungan suku akhir pastinya lebih sengit dengan pasukan seperti Belanda, Croatia dan Sepanyol masih belum tewas selain pertembungan 2 pasukan pilihan iaitu Portugal dan Jerman.

Perlawanan suku akhir:

- Jerman vs Portugal

- Croatia vs Turki

- Itali vs Sepanyol

- Belanda vs Sweden/Russia





Monday, June 16, 2008

Kebangkitan Turki, Kehebatan Holland

Turki menamatkan saingan dalam kumpulan A dengan melakukan satu kebangkitan paling menarik dalam sejarah Euro apabila menewaskan Czech Republic 3-2. Ketinggalan 2-0 sehingga minit ke-62, harapan Turki untuk mara ke pusingan suku akhir kelihatan sudah berakhir. Namun jaringan pemain pertahanan, Turan pada minit ke75 membuka kembali peluang mereka untuk bersaing.

Ketika perlawanan hanya tinggal 3 minit untuk ditamatkan, Peter Cech yang dianggap sebagai penjaga gol terbaik dunia menghampakan harapan seluruh penyokong Czech Republic apabila gagal menangkap kemas bola hasil hantaran lintang dan Nihat Kahveci tidak menghadapi masalah untuk menolak masuk gol penyamaan Turki. 2 minit berselang Nihat sekali lagi menewaskan Peter Cech untuk memastikan perlawanan tidak perlu dilanjutkan sehingga ke penentuan sepakan penalti dan memastikan mereka layak bertemu Croatia di suku akhir. Walaubagaimanapun Turki bakal kehilangan khidmat penjaga gol utama mereka setelah Dimeral dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana menolak Jan Koller.

Switzerland pula menutup tirai aksi mereka dengan kejayaan menumpaskan Portugal yang beraksi tanpa 8 pemain utama. Walaubagaimanapun kekalahan ini tidak menjejaskan kedudukan Portugal selaku pendahulu Kumpulan A walaupun memiliki pungutan mata yang sama dengan Turki kerana keputusan aksi kedua-dua pasukan memihak kepada Portugal yang menumpaskan Turki 2-0 dalam perlawanan pertama.

Sebelum itu, dalam aksi Kumpulan D, Sepanyol mengesahkan tiket ke suku akhir dengan menewaskan Sweden 2-1. Jaringan Fernando Torres dan jaringan lewat permainan David Villa sudah cukup untuk meletakkan Sepanyol selaku juara kumpulan C,mengelak daripada bertemu Belanda. Greece pula terpaksa melupakan hasrat untuk mempertahankan kejuaraan apabila terpaksa pulang awal setelah tumpas buat kali kedua, kali ini di tangan Rusia. Perebutan satu lagi tempat ke suku akhir kini menjadi perebutan antara Russia dan Sweden yang akan bertarung dalam aksi terakhir kumpulan.

Aksi Kumpulan C terus menyaksikan penguasaan Holland dengan membelasah satu lagi finalis Piala Dunia 2006 iaitu Perancis dengan jaringan 4-1. Dirk Kyut, Arjen Robben, Robin Van Persie dan Wesley Sneijder meletakkan Holland selaku pasukan pilihan yang harus digeruni oleh pasukan lain. Perancis dan Itali kini terpaksa bertarung sesama sendiri dalam aksi terakhir Kumpulan C sambil mengharapkan Holland tidak akan memberikan laluan mudah kepada Romania.

Aksi Kumpulan B malam ini bakal menyaksikan perebutan satu lagi tempat ke suku akhir antara Jerman, Austria dan Poland. Jerman dilihat memiliki peluang yang cerah berbanding Austria dan Poland untuk mengiringi Croatia.

Friday, June 13, 2008

Croatia Kejutkan Jerman

Croatia mencatatkan keputusan di luar jangkaan ke atas pasukan pilihan, Jerman apabila jaringan Darijo Srna dan Ivica Olic sudah cukup memberikan kemenangan 2-1. Jerman yang diramal tidak menghadapi kesukaran ke pusingan suku akhir kini terpaksa menghitung nasib dalam perlawanan terakhir bertemu Austria dan kemungkinan besar terpaksa bertemu Portugal di suku akhir.

Dalam perlawanan pagi tadi, Croatia berjaya mengawal bahagian tengah dengan Loca Modric, Nico Kovak dan Nico Kranjcar sukar digugat gandingan Ballack dan Frings. Jerman yang mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Poland gagal mengulangi kecemerlangan mereka dan percaturan Billic nyata berhasil apabila pada minit ke-24 hantaran Danijel Pranjic berjaya disambar Darijo Srna menewaskan Jansen dan Lehman untuk gol pertama Croatia. Mereka hampir menambah jaringan namun percubaan Kranjcar berjaya ditepis Lehman untuk memastikan Jerman terselamat.

Jerman melakukan pertukaran pemain pada separuh masa kedua, memasukkan Odonkor menggantikan Jansen yang kelihatan gagal menghalang gerakan Croatia dari sebelah kanan. Walaubagaimanapun Croatia berjaya mendapatkan gol kedua apabila hantaran silang Ivan Rakitic terkena badan Lucas Podolski sebelum membias tiang gol. Lehman gagal menyelamatkan keadaan dan kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh Olic untuk menolak mudah gol ke-2.

Jerman yang cuba bangkit mencari gol memasukkan Bastian Schweinsteiger pada minit ke-65 dan usaha Jerman berhasil apabila Lucas Podolski merembat kencang menewaskan Pletikosa untuk gol tunggal Jerman minit ke-78.

Hasrat Jerman untuk mencari gol penyamaan pada minit akhir perlawanan musnah apabila Schweinsteiger dilayangkan kad merah setelah dilihat membalas terjahan Jerko Leko. Kekalahan ini meletakkan Croatia selaku juara Kumpulan B dan layak ke pusingan suku akhir selain berjaya mengelak daripada bertemu satu lagi pasukan pilihan iaitu Portugal.

Thursday, June 12, 2008

Berita Terkini

Luiz Felipe Scolari telah dilantik sebagai pengurus Chelsea dan akan mula berkhidmat mulai 1 Julai, 2 hari selepas berakhirnya Euro 2008.

Patrice Evra telah menandatangani kontrak lanjutan 4 tahun bersama Manchester United.

Dengan perlantikan Scolari, Chelsea dikatakan bersedia membelanjakan 100 juta pound untuk membawa Kaka, Deco dan David Villa ke Stamford Bridge.

Arsenal sekali lagi bakal menghampakan Manchester United dengan Roque Santa Cruz mungkin memilih Arsenal sebagai pasukan barunya musim depan.

Cristiano Ronaldo dilabel sebagai Pemain Bola Sepak Paling Seksi Euro 2008 oleh sebuah majalah di Jerman.

Sam Allardyce akan ditemuduga untuk jawatan sebagai pengurus Blackburn hari ini.

Roberto Donadoni berdepan kemungkinan disingkirkan daripada jawatan jurulatih Itali setelah juara dunia 2006 itu tewas mengejut di tangan Holland.

Portugal ke Suku Akhir

Inspirasi Cristiano Ronaldo membantu Portugal melayakkan diri ke pusingan suku akhir Euro 2008 setelah menundukkan Republik Czech 3-1 dalam aksi kumpulan A semalam.

Portugal membuka tirai jaringan seawal minit ke-8 menerusi Deco hasil gerakan satu dua Ronaldo dan Nuno Gomes. Peter Cech berjaya menghalang gerakan Ronaldo namun Deco berjaya menolak masuk bola ke dalam gawang walaupun cuba dihalang pemain pertahanan Czech.
Portugal walaubagaimanapun tersentak dengan gol penyamaan Republik Czech pada minit ke 16 hasil tandukan kencang Sionko, berpunca daripada sepakan penjuru. Terikat 1-1 kedua-dua pasukan menggandakan asakan dengan Portugal lebih banyak mengawal permainan. Czech yang melakukan serangan balas hampir menambah jaringan namun penjaring terbanyak Euro 2004, Milan Baros gagal menyudahkan peluang di depan gol.

Separuh masa kedua menyaksikan penguasaan sepenuhnya oleh Portugal dan mereka berjaya menambah gol menerusi rembatan leret Cristiano Ronaldo berpunca daripada lorongan Deco. Republic Czech yang terdesak mencari gol membawa masuk penyerang gergasi mereka, Jan Koller dan melakukan asakan demi asakan ke kubu Portugal namun tandukan Sionko berjaya ditepis keluar Ricardo.

Hasil daripada sepakan percuma pantas, Ronaldo berjaya melepasi perangkap offside sebelum melorongkan bola kepada Quaresma untuk jaringan ke-3 Portugal, minit ke-90.

Dalam perlawanan lain, Turki bangkit dari ketinggalan 1 gol untuk menewaskan Switzerland 2-1 bagi memastikan persaingan merebut satu lagi tempat ke suku akhir bersama Czech dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Wednesday, June 11, 2008

EURO 2008

Kempen Euro 2008 telah memasuki hari ke-4 dengan kesemua pasukan telah melalui perlawanan pertama masing-masing. Dengan permulaan yang agak lembab, Euro 2008 mencapai klimaksnya pada pertembungan Belanda dan juara dunia, Itali diikuti aksi hatrik David Villa untuk Sepanyol dan jaringan cantik Zlatan Ibrahimovic untuk Sweden menewaskan juara bertahan, Greece.

Republic Czech membuka tirai Euro 2008 menewaskan pasukan tuan rumah, Switzerland dengan jaringan tipis 1-0 dalam perlawanan yang menyaksikan Switzerland dihampakan oleh pengadil untuk memperoleh sekurang-kurangnya satu sepakan penalti. Czech yang beraksi tanpa bintang Arsenal, Thomas Rosicki nampak kurang menyengat di samping ketumpulan di bahagian serangan yang diketuai penyerang berusia, Jan Koller.

Portugal melakarkan kemenangan 2-0 ke atas Turki namun ketumpulan di bahagian serangan sedikit sebanyak meresahkan Scolari. Mereka hanya memiliki Nonu Gomes setelah penyerang prolifik mereka, Pauleta mengumunkan persaraan di pentas antarabangsa. Portugal kini meletakkan sandaran kepada kuartet bahagian tengah yang diketuai Cristiano Ronaldo, Deco, Quaresma dan Simao Sabrosa untuk menjaringkan gol.

Jerman yang turun selaku pasukan pilihan tidak menghadapi sebarang masalah untuk menerajui kumpulan B setelah menewaskan poland 2-0 hasil jaringan Lucas Podolski yang merupakan anak kelahiran Poland sebelum berhijrah ke Jerman. Croatia hanya mampu menewaskan Austria menerusi jaringan penalti Luca Modric dan ketiadaan penjaring terbanyak mereka, Eduardo memperlihatkan kepincangan di bahagian serangan walaupun mereka memiliki kelebihan di bahagian tengah yang terdiri daripada 2 bintang Liga Perdana Inggeris iaitu Loca Modric dan Niko Kranjcar, juga ketua pasukan, Niko Kovac.

Pertembungan dalam kumpulan maut iaitu Kumpulan C menyaksikan Perancis hanya mampu seri 0-0 dengan Romania dengan aksi hambar kedua-dua pasukan. Walaubagaimanapun Belanda kembali menghangatkan Euro 2008 dengan menewaskan Itali 3-0. Pasukan yang gagal mereka tewaskan dalam tempoh 30 tahun. Itali yang dibarisi kesebelasan utama yang purata umurnya 31 tahun nyata gagal mengekang aksi serangan pantas Belanda yang diterajui Ruud Van Nistelrooy dan Wesley Sneijder. Walaupun jaringan Van Nistelrooy agak kontroversi, namun Belanda nyata berhak untuk memenangi perlawanan. Kini Itali dan Perancis perlu memenangi perlawanan ke-2 masing-masing untuk mencerahkan peluang mereka ke pusingan suku akhir.

Sepanyol mempamerkan aksi menarik melalui hatrik David Villa untuk membenam Russia 4-1. Gandingan Fernando Torres dan David Villa nyata memberi masalah kepada barisan Russia yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Gus Hiddink.

Greece selaku juara bertahan gagal menyuntik semangat 2004 apabila tumpas kepada Sweden 2-0 menerusi rembatan cantik Zlatan Ibrahimovic dan Peter Hansson. Jaringan Zlatan itu juga merupakan jaringan pertamanya untuk Sweden sejak 2005.

Jika dilihat dari persembahan pertama setiap pasukan, nyata Jerman, Belanda dan Sepanyol perlu diberi perhatian sambil pasukan gergasi seperti Itali dan Perancis perlu berhempas-pulas untuk mencatatkan kemenangan pertama mereka. Walaubagaimanapun Euro kali ini gagal memberikan sebarang kejutan ataupun keputusan di luar jangkaan memandangkan kesemua pasukan "underdog" tewas kepada lawan masing-masing kecuali Romania yang masih mampu melakarkan kejutan dalam Kumpulan C.

Tuesday, June 10, 2008

Isu Perpindahan Ronaldo

Manchester United telah melaporkan tingkah laku Real Madrid berkenaan isu memancing Cristiano Ronaldo dari Old Trafford musim depan kepada FIFA sambil menegaskan bahawa Ronaldo tidak akan dijual. Sir Alex Ferguson sebelum ini telah menegaskan bahawa beliau sanggup merehatkan Ronaldo di bangku simpanan musim depan daripada menjualnya kepada Real Madrid. Beliau juga telah mengugut untuk melaporkan perkara ini kepada FIFA pada 27 Mei yang lalu.

Real Madrid bagaimanapun terus mengeluarkan khabar angin melalui tabloid mereka namun tidak pernah membuat sebarang rundingan untuk membeli pemain tersebut. Menurut sumber terkini, Real sanggup menawarkan 60 juta pound bersama Robinho kepada United walaupun sebelum ini United menyatakan mereka tidak melepaskan Ronaldo meskipun untuk 100 juta pound.

Kemunculan Ronaldo di Bernebeau akan menguntungkan Real Madrid dari segi penjualan jersey dan barangan mereka di Asia terutamanya sepertimana yang berlaku ketika Beckham menyertai mereka 5 tahun yang lalu. Real sebelum ini di dalam tabloidnya menyatakan akan membayar 300 000 ribu pound seminggu kepada Ronaldo, menjadikannya pemain yang menerima bayaran termahal.

Masalah ini timbul akibat sikap Ronaldo sendiri yang bermain dengan teka-teki dengan tidak memberikan kata putus tentang keputusannya. Beliau sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk bermain bersama Real Madrid memandangkan itu adalah impiannya semasa kecil di samping ingin menunaikan hasrat ibunya yang ingin melihatnya menyarung jersi Real Madrid. Ketika ditanya keputusannya selepas perlawanan akhir Liga Juara-juara menewaskan Chelsea, beliau menyatakan hasratnya untuk terus bersama United namun selepas itu masih tetap menyuarakan hasratnya untuk menyertai Real sambil menyifatkan "masa depan sukar diramal." Terbaru, Ronaldo menyuarakan bahawa beliau berminat untuk menyarung jersi Real seandainya mereka bersetuju dengan harga yang diletakkan United. Beliau juga tidak mahu memberi sebarang komen sehingga berakhirnya Euro 2008. Daripada desas-desus terkini mengatakan Ronaldo mungkin akan mengemukakan surat pelepasan kepada United bagi membolehkan beliau ke Real Madrid.

Daripada desas-desus ini, mungkin Ronaldo akan meninggalkan United musim depan. Beliau sudah mencapai segala-galanya di EPL dan mungkin juga beliau ingin mencari suasana baru. Ronaldo juga bukanlah pemain Inggeris yang mungkin akan bersama United untuk selama-lamanya dan Real Madrid dari segi sejarahnya adalah kelab terbaik di Eropah. Mungkin Ronaldo merasakan untuk menjadi pemain hebat, beliau perlu beraksi di Real Madrid sepertimana Zidane, Figo, Roberto Carlos, David Beckham dan Ronaldo. Namun era Galaticos itu sudah pun berakhir dan ketika ini Manchester United adalah yang terbaik.

Menurut Eric Cantona, keputusan untuk meninggalkan United ketika ini adalah keputusan yang salah memandangkan pasukan Alex ferguson sekarang memiliki masa depan yang cerah untuk terus menakluk Eropah.

Walaubagaimanapun, Eric menegaskan bahawa United tidak akan terjejas seandainya benar Ronaldo akan meninggalkan Old Trafford sambil menyifatkan United akan terus berkembang sebagai satu pasukan.

Ketika ini, semua keputusan terletak di tangan Ronaldo. Seandainya beliau memutuskan untuk menyertai Real, pasti hasratnya bakal menjadi kenyataan dan Sir Alex Ferguson tidak akan menyimpan pemain yang tidak mahu beraksi untuk United lagi.

Tuesday, June 3, 2008

Gosip Terkini

Manchester City akan meneruskan usaha mereka untuk mendapatkan Ronaldinho dengan menawarkan bayaran 200,000 pound seminggu untuk pemain tersebut.

Manchester United berhasrat mendapatkan Roque Santa Cruz dengan nilai 15 juta pound.

Walaubagaimanapun, Mark Hughes mungkin akan membawa Santa Cruz dan David Bentley bersamanya ke Manchester City.

Gareth Barry telah menyatakan hasratnya untuk menyertai Liverpool bagi mencerahkan peluang beliau beraksi dalam kejohanan eropah dan memastikan tempatnya dalam kesebelasan utama England.

Jose Mourinho yang baru sahaja dilantik sebagai pengurus Inter Milan berhasrat untuk membawa Didier Drogba, Frank Lampard, Michael Essien dan Ricardo Carvalho dari Chelsea.

Newcastle United sedang cuba mendapatkan Pablo Aimar dari Real Zaragoza setelah kelab itu meletakkan 6.5 juta pound sebagai pelepasan.

Hajat Arsenal untuk mendapatkan khidmat pemain Lyon yang juga pemain antarabangsa Perancis, Samir Nasri tersekat sehingga tamatnya Euro 2008 walaupun kedua-dua pihak dikhabarkan telah bersetuju dengan bayaran 12.5 juta pound.

Manchester City perlu membayar wang pampasan bernilai 5 juta pound kepada Blackburn untuk mendapatkan Mark Hughes dan staf sokongannya.

Sir Alex Ferguson menyatakan beliau hanya mempunyai 2 musim sahaja lagi untuk bersama United. Beliau turut memberitahu wartawan bahawa beliau mungkin dapat menyelamatkan karier Paul Gascoigne seandainya pemain tersebut menyarung jersi United dan bukannya Tottenham Hotspur.

Nicolas Anelka menyatakan beliau menyesal meninggalkan Arsenal untuk menyertai Real Madrid pada 1999 sambil menyifatkan beliau mungkin akan menghabiskan kariernya bersama Arsenal.