Saturday, April 19, 2008

Sejarah Piala Eropah (EURO)

Idea kejohanan dicetus oleh Persatuan Bolasepak Perancis melalui Henri Delaunay yang merupakan setiausaha agung UEFA yang pertama pada tahun 1927, namun hanya menjadi kenyataan pada tahun 1958. Sebagai penghargaan kepada beliau, Piala Eropah diberikan nama Henri Delaunay Trophy. Beliau meninggal dunia 5 tahun sebelum kejohanan pertama pada 1960.

Kejohanan pertama pada 1960 di Perancis menyaksikan hanya 4 pasukan layak ke pusingan akhir daripada 17 pasukan yang mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan dengan Itali dan Jerman Barat tidak mengambil bahagian. Soviet Union muncul juara eropah yang pertama apabila menewaskan Yugoslavia 2-1 dalam perlawanan akhir di Paris.

Sepanyol menjadi tuan rumah untuk kejohanan berikutnya pada tahun 1964. Sepanyol muncul juara setelah menewaskan Soviet Union 2-1 di Santiago Bernabéu, Real Madrid.

Format kejohanan kekal serupa pada tahun 1968 di Itali namun berlaku kejutan apabila buat kali pertama dan terakhir keputusan perlawanan ditentukan dengan lambungan syiling, membabitkan Itali dan Soviet Union di separuh akhir. Itali mara ke pusingan akhir untuk menewaskan Yugoslavia 3-1 dalam perlawanan timbal balik setelah seri 1-1 dalam perlawanan pertama.

Kejohanan berikutnya dilangsungkan di Belgium dengan Jerman Barat muncul sebagai juara setelah menewaskan USSR 3-0 dalam perlawanan akhir di Brussels. Pasukan Jerman Barat ini kemudiannya muncul juara Piala Dunia 2 tahun berikutnya.

Kejohanan pada tahun 1976 adalah yang terakhir membabitkan 4 pasukan di pusingan akhir dan yang terakhir memberikan kelayakan automatik kepada tuan rumah. Czechoslovakia menundukkan Jerman Barat melalui penentuan sepakan penalti yang buat pertama kalinya diperkenalkan dengan sepakan ‘chip’ Antonín Panenka menewaskan penjaga gol Jerman Barat menjadi penentu.

Lapan pasukan mengambil bahagian dalam pusingan akhir tahun 1980 di Itali dengan melibatkan perlawanan kumpulan. Juara setiap kumpulan layak ke perlawanan akhir manakala naib juara kumpulan bertanding untuk penentuan tempat ke-3 dan ke-4. Jerman Barat muncul juara buat kali ke-2, menewaskan Belgium 2-1 di Stadio Olimpico, Rome.

Perancis menggondol kejuaraan pertama mereka pada tahun 1984 di bumi sendiri dengan Michel Platini menjaringkan 9 gol dalam 5 perlawanan termasuk gol pertama dalam perlawanan akhir menewaskan Sepanyol 2-0. Format kejohanan turut berubah dengan 2 pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Euro 1988 di Jerman Barat menyaksikan kebangkitan Belanda yang diterajui Marco Van Basten apabila menewaskan Jerman Barat 2-1 di separuh akhir. Mereka kemudiannya muncul juara setelah menewaskan USSR 2-0 hasil jaringan cantik oleh Van Basten yang dianggap tercantik dalam sejarah Euro.

Euro 1992 di Sweden mencatatkan kejutan paling besar apabila Denmark muncul juara walaupun hanya layak di saat-saat akhir setelah menggantikan Yugoslavia yang menarik diri akibat perang. Mereka mencatatkan keputusan di luar jangkaan apabila menewaskan Jerman 2-0 selain menundukkan juara bertahan, Belanda di separuh akhir dalam penentuan sepakan penalti dengan Peter Schmeichel menyelamatkan percubaan Marco Van Basten. Kejohanan ini menjadi kejohanan pertama disertai Jerman setelah disatukan dan buat pertama kalinya nama pemain dicetak di belakang jersi.

Euro 1996 di England mencatatkan penampilan terbanyak di pusingan akhir iaitu 16 pasukan mengambil bahagian dan dibahagikan kepada 4 kumpulan. England yang diketuai Paul Gascoigne dan Alan Shearer menjadi pasukan pilihan namun tewas kepada pasukan Jerman di separuh akhir melalui penentuan sepakan penalti. Jerman kemudiannya muncul pemenang apabila bangkit dari ketinggalan 1-0 untuk menewaskan Czech Republic menerusi 2 gol daripada Oliver Bierhoff pada masa tambahan ’Golden Gol’ yang pertama kali diperkenalkan.

Euro 2000 muncul kejohanan pertama yang melibatkan 2 tuan rumah iaitu Belanda dan Belgium. Perancis yang turun dengan status juara Piala Dunia 1998 menewaskan Itali 2-1 dalam perlawanan akhir. Sylvain Wiltord menjaringkan gol penyamaan pada minit terakhir perlawanan menewaskan Toldo sebelum David Trezeguet menjaringkan gol cantik pada masa tambahan untuk menobatkan Perancis selaku juara berganda.

Seperti pada tahun 1992, Euro 2004 sekali lagi menjadi medan buat pasukan bukan pilihan iaitu Greece muncul pemenang. Mereka mengejutkan pasukan tuan rumah, Portugal pada perlawanan pembukaan sebelum menewaskan mereka buat kali kedua dalam perlawanan akhir. Mereka turut menewaskan Perancis dan Czech Republic sepanjang laluan mereka ke aksi akhir dan menjadi pasukan tunggal tidak pernah tewas sepanjang kejohanan sejak pusingan kelayakan.


Fakta Euro:

Pasukan paling berjaya:
- Jerman (3 kali: 1972, 1980, 1996)
- Perancis (2 kali: 1984, 2000)

Penampilan terbanyak dalam pusingan akhir:
- Jerman (10 kali)

Penjaring terbanyak:
1. Michel Platini – 9 gol
2. Alan Shearer – 7 gol
3. Patrick Kluivert – 6 gol

No comments: