Friday, February 1, 2008

Perpindahan Januari

Perpindahan Liga Perdana Inggeris berakhir hari ini dengan Jermain Defoe menjadi pemain terakhir yang berpindah kelab.

Portsmouth yang telah mendapatkan Milan Baros secara pinjaman berjaya membawa Defoe ke Fratton Park dengan nilai antara £7 juta – £12 juta.

Satu-satunya pemain yang pastinya kurang gembira hari ini ialah Benjani Mwaruwari, yang sepatutnya bersama Manchester City tetapi gagal tiba di Manchester pada waktu yang sepatutnya.

Walaubagaimanapun, City tetap berjaya mendapatkan penyerang antabangsa Ecuador, Felipe Caicedo dengan nilai £5 juta, juga Filippo Mancini yang merupakan anak lelaki kepada pemain lagenda Itali iaitu Roberto Mancini.

Redknapp kini mempunyai barisan penyerang yang mantap selain kedatangan Lassana Diara dari Arsenal untuk mengukuhkan bahagian tengah.

Chelsea sekali lagi berbelanja besar dengan pembelian Nicholas Anelka dari Bolton dan pemain pertahanan, Branislav Ivanovic dengan kedua-duanya mencecah £24 juta.

Anelka setakat ini dilihat tidak akan menghampakan Chelsea kerana beliau adalah penyerang yang terbukti berbisa di depan gol dan telah menjaringkan satu gol untuk Chelsea setakat ini daripada 4 penampilan pertamanya.

Manchester United juga tidak ketinggalan untuk berbelanja apabila mereka mendapatkan penyerang Angola, Manucho sementara Arsenal membelanjakan £200 ribu untuk pemain 15 tahun, Luke Freeman.

Arsenal sebelum ini dikatakan terdesak untuk mendapatkan pemain pertahanan sebagai ganti kepada Toure yang mengalami kecederaan namun bidaan lewat ke atas Woodgate mungkin akan merugikan mereka selepas ini.

Tottenham mendapatkan Woodgate bagi menyelesaikan masalah bahagian pertahanan mereka dan gandingan Woodgate – Ledley King pastinya mantap seandainya kedua-dua pemain tidak lagi dibelenggu kecederaan.

Spurs juga berjaya membawa Alan Hutton dari Rangers dan kehadirannya mungkin menandakan penamat karier Pascal Chimbonda di White Heart Lane.

Middlesbrough pula membelanjakan wang hasil daripada penjualan Woodgate untuk penyerang Brazil iaitu Afonso Alves yang menjaringkan 35 gol dalam Liga Belanda musim lepas, dengan rekod perpindahan kelab melebihi £10 juta.

Liverpool mencatatkan rekod pembelian pertahanan termahal dalam sejarah kelab mereka apabila membawa Martin Skrtel dengan nilai £6 juta. Walaubagaimanapun, pemain antarabangsa Slovakia tersebut menampilkan aksi kurang memberangsangkan dalam perlawanan Piala FA menentang Havant & Waterlooville.

Mohamed Sissoko akhirnya berjaya meninggalkan Liverpool untuk bersama Juventus setelah gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama untuk tempoh yang lama.

Kelab-kelab bahawan yang sedang bergelut dengan penyingkiran juga tidak ketinggalan untuk mendapatkan pemain-pemain baru yang dianggap mampu menyelamatkan mereka.

Bermingham dan Wigan paling berbelanja besar apabila mendapatkan James McFadden dan Marlon King, kedua-duanya bernilai £5 juta.

Fulham pula membuat percaturan berani dengan membawa Brede Hangeland, Leon Andreasen, Toni Kallio, Eddie Johnson dan pemain veteran Finland, Jari Litmanen.

Derby yang dilihat bakal tersingkir dari Liga Perdana musim ini membawa Robby Savage, Alan Stubbs dan Roy Carroll untuk cuba menyelamatkan mereka dari penyingkiran namun semuanya dilihat sudah terlambat.

Lebih kurang £40 juta dibelanjakan dengan Portsmouth, Chelsea dan Tottenham menerajui senarai berbelanja besar namun pembelian mereka dilihat berbaloi.

Tempoh tiga bulan seterusnya bakal memperlihatkan hasil. Walaubagaimanapun kemungkinan besar tidak banyak perubahan akan berlaku pada kedudukan 10 pasukan terbaik musim ini.

No comments: