Tuesday, December 4, 2007

Ferenc Puskas - Lagenda Hungary

Ferenc Puskas (2 April 1927 – 17 November 2006) adalah lagenda bola sepak Hungary dan antara penyerang terbaik sepanjang zaman. Beliau menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan antarabangsa untuk Hungary dan 514 gol dalam 529 perlawanan liga Hungary dan Sepanyol, satu statistik yang tidak mungkin dicapai mana-mana pemain hingga ke hari ini.

Beliau bermain untuk Honvéd sebelum menyertai Real Madrid dan kemudiannya mewakili Sepanyol. Sepanjang 1950-an, beliau adalah pemain dan ketua pasukan barisan lagenda Hungary yang diberi jolokan Mighty Magyars bersama-sama pemain-pemain lain yang terdiri daripada Zoltán Czibor, Sándor Kocsis, József Bozsik dan Nándor Hidegkuti. Pada tahun 1958, 2 tahun selepas revolusi, Puskas berpindah ke Sepanyol menyertai kelab terbaik Eropah ketika itu yang dibarisi Alfredo Di Stéfano, Francisco Gento, Raymond Kopa, Héctor Rial dan José Santamaria.

Walaupun bertubuh pendek dan hanya mahir menggunakan sebelah kaki, Puskas digeruni dengan rembatan kaki kirinya yang menjadikannya penjaring terbanyak liga Hungary sebanyak 4 kali dan penjaring terbanyak Eropah pada tahun 1948. Ketika bermain bersama Real Madrid, beliau memenangi 4 Pichichis dan menjaringkan 7 gol dalam 2 perlawanan akhir kelab-kelab Eropah. Beliau juga dinobatkan sebagai penjaring terbanyak abad ke-20 oleh IFFHS pada tahun 1995.

Selepas bersara sebagai pemain Puskas meneruskan kariernya sebagai jurulatih dan beliau berjaya membawa Panathinaikos FC ke perlawanan akhir Piala Eropah pada tahun 1971 namun tewas 2-0 kepada Ajax yang ketika itu dibarisi lagenda Belanda, Johan Cryuff.



Karier bersama Hungary.
Puskas melakukan penampilan pertamanya untuk Hungary pada 20 Ogos 1945 dan menjaringkan gol dalam kemenangan 5-2 menewaskan Austria. Beliau menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan untuk Hungary. Bersama-sama Zoltán Czibor, Sándor Kocsis, József Bozsik dan Nándor Hidegkuti, mereka menjadikan pasukan Hungary sebagai satu kuasa bola sepak yang digeruni ketika itu dengan mencatatkan rekod tidak pernah tewas dalam 32 perlawanan antarabangasa berturut-turut.

Mereka muncul sebagai juara Olimpik pada 1952 menewaskan Yugoslavia 2-0 dalam perlawanan akhir di Helsinki dan Puskas menjaringkan 4 gol sepanjang kejohanan termasuk gol pertama dalam perlawanan akhir. Mereka juga 2 kali memberi pengajaran kepada England apabila pada tahun 1953 muncul pasukan bukan British pertama menewaskan England di Stadium wembley dengan jaringan 6-3, kemudiannya membelasah England 7-1 di Budapest setahun berikutnya. Puskas menjaringkan 2 gol dalam kedua-dua perlawanan. Pada tahun 1953, Hungary muncul juara Eropah Tengah (Central European Champions) dan Puskas menjadi penjaring terbanyak kejohanan dengan 10 gol termasuk 2 gol ketika menewaskan Itali 3-0 di Stadio Olimpico untuk membawa pulang piala.

Turun dengan reputasi sebagai pasukan pilihan pada Piala Dunia 1954, Hungary menewaskan Korea Selatan 9-0 dan Jerman Barat 8-3 dalam saingan peringkat kumpulan namun Puskas mengalami kecederaan pergelangan kaki dalam perlawanan berikutnya setelah dikasari Werner Liebrich dan hanya kembali dalam perlawanan akhir. Walaupun tidak bermain nama Puskas muncul di tengah-tengah kontroversi dalam perlawanan menentang Brazil di peringkat suku akhir yang digelar Battle of Berne. Ketika perlawanan ditamatkan, Puskas yang berada di bangku penonton menghentak pemain Brazil, Pinheiro dengan botol dan menyebabkan pemain tersebut menerima 3 jahitan di kepala.

Walaupun masih belum cergas sepenuhnya Puskas diturunkan dalam perlawanan akhir menentang Jerman Barat yang mereka tewaskan 8-3 di peringkat kumpulan. Beliau menjaringkan gol ke-4 sepanjang kejohan untuk Hungary mendahului 1-0 pada minit ke-6. Selepas Czibor menjaringkan gol ke-2 Hungary dua minit kemudian, gelaran juara dunia dilihat sudah berpihak kepada Hungary. Walaubagaimanapun Jerman Barat yang terkenal dengan semangat melawan menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama dan Hungary gagal memanfaatkan peluang pada separuh masa kedua. Jerman Barat berjaya menjaringkan gol kemenangan 6 minit sebelum tamat permainan dan menamatkan rekod tanpa kalah Hungary dengan kekalahan 3-2. Walaupun Puskas berjaya menjaringkan gol 4 minit selepas itu, jaringannya tidak dikira kerana ofsaid. Kekalahan tersebut menjadikan Hungary sebagai salah satu pasukan hebat sepanjang zaman yang gagal memenangi Piala Dunia selain Belanda yang menerima nasib sama pada tahun 1974, juga di tangan Jerman Barat.


Karier di Sepanyol.
Puskas menyertai Real Madrid pada tahun 1958 ketika usianya mencecah 31 tahun dan beliau menjaringkan 4 hatrik dalam musim pertamanya bersama Real Madrid termasuk satu hatrik dalam perlawanan keduanya menewaskan Sporting de Gijón. Puskas mencipta 2 hatrik ketika menewaskan Barcelona di Bernabéu dan di Camp Nou pada tahun 1963. Sepanjang 8 musim bersama Real Madrid, Puskas menjaringkan 156 gol dalam 180 penampilan liga dan beliau menjaringkan lebih daripada 20 gol dalam setiap 6 musim Liga Sepanyol, melayakkan beliau memenangi Pichichi sebanyak 4 kali pada tahun 1960, 1961, 1963 dan 1964. Beliau turut membantu Real memenangi La Liga 5 kali berturut-turut dari tahun 1961 hingga 1965, juga kejuaraan Copa del Generalísimo pada tahun 1962 menewaskan Sevilla 2-1 dengan kedua-dua jaringan dilakukan oleh Puskas.

Puskas mewakili Real Madrid 39 kali di peringkat Eropah dan menjaringkan 35 gol. Beliau membantu Real ke perlawanan akhir kelab Eropah pada tahun 1959 apabila menjaringkan gol menewaskan Atletico Madrid namun terlepas aksi akhir kerana kecederaan. Walaubagaimanapun beliau bangkit musim berikutnya apabila memulakan kempen dengan jaringan hatrik menewaskan Jeunesse Esch seterusnya menewaskan FC Barcelona dalam saingan separuh akhir dengan jaringan hatrik dalam kedua-dua perlawanan timbal balik. Dalam perlawanan akhir yang disifatkan sebagai perlawanan akhir terbaik sepanjang zaman, Real menewaskan Eintracht Frankfurt 7-3 dengan 4 gol dari Puskas dan 3 oleh Di Stefano. Beliau turut menjaringkan hatrik dalam perlawanan akhir 1962 ketika mereka tewas 5-3 di tangan Benfica. Beliau menjaringkan 5 gol ketika menewaskan Feyenoord dalam membawa generasi muda Real Madrid menjulang Piala Eropah pada tahun 1966.


Puskas mendapat kewarganegaraan Sepanyol pada tahun 1962 dan mewakili Sepanyol sebanyak 4 kali dan 3 daripadanya adalah pada Piala Dunia 1962 namun beliau gagal menjaringkan gol untuk Sepanyol.


Karier sebagai jurulatih.
Setelah bersara sebagai pemain, Puskas meneruskan karier sebagai jurulatih di Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika, Asia dan Australia. Kejayaan terbesar beliau adalah membawa Panathinaikos FC ke perlawanan akhir Piala Eropah 1971 dan kekal sebagai satu-satunya pasukan Greek yang berjaya ke perlawanan akhir hingga ke saat ini.
Selepas menumpaskan Everton di suku akhir dengan kelebihan jaringan di tempat lawan , Panathinaikos bangkit menewaskan Red Star Belgrade 4-1 di separuh akhir selepas tewas 1-0 perlawanan pertama. Perlawanan akhir menyaksikan kepulangan Puskas ke Wembley namun mereka tunduk 2-0 kepada pasukan terbaik Eropah ketika itu, Ajax Amsterdam yang dibarisi Johan Cruyff.

Puskas membantu Panathinaikos muncul juara Greek sebanyak 2 kali tetapi gagal meneruskan kecemerlangannya sehinggalah pada tahun 1991 apabila beliau membawa South Melbourne Hellas menjuarai liga Australia (National Soccer League).



Puskas disahkan menghidap Alzheimer pada tahun 2000 dan beliau meninggal dunia tanggal 17 November 2006 akibat pneumonia. Kehilangan Puskas begitu dirasai peminat-peminat bola sepak seluruh dunia dan beliau kekal sebagai lagenda penyerang berbisa yang tiada tolok bandingnya.

Thursday, November 29, 2007

Piala Dunia 1966 (England)

Piala Dunia 1966 kekal sebagai satu-satunya piala yang dimenangi England di pentas antarabangsa sehingga ke hari ini. Piala yang ketika itu dikenali sebagai Jules Rimet menjadi milik England pada 30 Julai 1966 di Stadium Wembley dengan disaksikan 98,000 penonton setelah menumpaskan Jerman Barat 4-2 secara kontroversi. Mereka menjadi pasukan tuan rumah pertama muncul pemenang selepas kali terakhir dilakukan oleh Itali pada 1934.

Menggunakan formasi 4-1-2-1-2 England diperkuatkan dengan barisan yang kini bergelar lagenda terdiri daripada Bobby Moore selaku ketua pasukan, Bobby Charlton, Jackie Charlton, George Cohen, Gordon Banks dan penyerang berbisa Geoff Hurst yang menjaringkan hatrik dalam perlawanan akhir.

Walaupun tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan, England menjuarai kumpulan yang dianggotai Uruguay, Perancis dan Mexico dan mereka berjaya mengharungi perlawanan-perlawanan getir sebelum ke aksi akhir. England menewaskan Argentina 1-0 di suku akhir hasil jaringan Geoff Hurst dan (Sir) Bobby Charlton menyumbat 2 gol untuk menewaskan pasukan pilihan, Portugal 2-0 yang ketika itu dibarisi pemain lagenda Benfica, Eusebio da Silva Ferreira yang juga penjaring terbanyak kejohanan dengan 9 gol.

Perlawanan akhir.

Disaksikan 98,000 penonton, England yang dipimpin (Sir) Alf Ramsey dikejutkan oleh gol awal Jerman Barat pada minit ke-12 apabila
Helmut Haller berjaya menewaskan Gordon Banks. England menyamakan kedudukan pada minit ke-19 hasil jaringan Hurst yang berjaya menampan bola dari sepakan percuma Moore.

Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama sehinggalah England memperoleh sepakan sudut pada minit ke-71. Alan Ball menghantar bola kepada Geoff Hurst yang menanduk bola untuk disudahkan oleh Martin Peters dengan satu sepakan cantik menewaskan penjaga gol Jerman Barat untuk England mendahului 2-1.

Namun England menghadiahkan sepakan percuma pada minit-minit terakhir menerusi kesilapan Jackie Charlton dan Wolfgang Weber menyudahkan jaringan untuk kedudukan 2-2 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan. Gol penyamaan Jerman agak kontroversi kerana pemain England mendakwa bola terlebih dahulu terkena tangan Karl-Heinz Schnellinger sebelum ke dalam kotak penalti.

Ketika 11 minit permainan masa tambahan berlangsung, Alan Ball melakukan hantaran lintang dan disambut oleh Hurst yang melakukan rembatan jarak dekat namun bola terkena palang sebelah dalam, melantun ke bawah di depan garisan gol sebelum dikeluarkan pertahanan Jerman.


Pengadil perlawanan, Gottfried Dienst tidak begitu pasti sama ada bola telah melintasi garisan gol ataupun tidak tetapi penjaga garisan dari USSR, Tofik Bakhramov yang berada dekat dengan kawasan penalti Jerman memberikan gol untuk England. Para penyokong dan lebih 400 juta penonton yang menyaksikan siaran secara langsung terus mepersoalkan sama ada gol tersebut patut diberikan. Gol ke-3 terus menjadi kontroversi sepanjang perlawanan.

Jerman yang nyata kecewa dengan keputusan pengadil terdesak mencari gol penyamaan dan mereka menghantar semua pemain ke kubu England seminit sebelum tamat permainan. Bobby Moore berjaya mematahkan serangan Jerman dan melakukan hantaran jauh kepada Hurst yang tidak dikawal. Hurst membawa bola berseorangan untuk menjaringkan gol ke-4 sambil sebahagian penyokong England sudah mula masuk ke padang.

Hurst memberitahu sejurus tamat perlawanan bahawa sepakannya sebenarnya hanyalah satu cubaan untuk menghantar bola sejauh mungkin ke tempat duduk penonton bagi melengahkan masa permainan.


Penyokong Jerman menyifatkan penjaga garisan, Tofik Bakhramov yang berasal dari Arzebaijan berat sebelah terutamanya kerana Russia ditewaskan oleh Jerman pada peringkat separuh akhir. Beliau kemudiannya memberikan penjelasan bahawa beliau percaya bola melantun setelah terkena jaring sebelah dalam dan bukannya palang. Sama ada ia melintasi garisan semasa ia melantun ke bawah tidak lagi menjadi soal. Pengadil perlawanan dari Switzerland, Gottfried Dienst yang dianggap antara pengadil terbaik ketika itu tidak melihat dengan jelas dan beliau sekali lagi dipersalahkan kerana memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah pada perlawana akhir Piala Eropah 2 tahun kemudian.

Pada tahun 1995, penyelidik dari Oxford University berjaya membuktikan bahawa bola tidak melepasi garisan gol dan gol tersebut tidak patut dikira setelah meneliti dengan teliti rakaman video dari pelbagai sudut.

Walaubagaimanapun, 30 Julai 1966 kekal menjadi tarikh keramat England menjuarai Piala Dunia buat kali pertama dan terakhir hingga ke hari ini.


Barisan pemain-pemain England:

Gordon Banks(GK), George Cohen, Jackie Charlton, Bobby Moore(C), Ray Wilson, Nobby Stiles, Alan Ball, Bobby Charlton, Martin Peters, Geoff Hurst, Roger Hunt

Pengurus: Alf Ramsey



Wednesday, November 28, 2007

Keputusan Penuh Uefa Champion League

Rangers dan Arsenal tewas manakala Manchester United menjaringkan gol masa kecederaan untuk menewaskan Sporting 2-1.

Inter Milan menempah tiket ke pusingan kedua setelah menewaskan Fenebahce dan diiringi satu lagi wakil Itali, AS Roma yang mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Dynamo Kiev.

Barcelona menjuarai Kumpulan E walaupun hanya seri 2-2 dengan Lyon di Stade Gerland.

Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi duri dalam daging untuk menghantui bekas kelabnya, Sporting Lisbon dengan satu sepakan bebas lewat permainan di Old Trafford.

Sporting terlebih dahulu mengejutkan penyokong tuan rumah apabila hantaran lintang Fernando Abel melencong ke penjuru gol untuk memperdayakan Tomasz Kuszcak minit ke-21

United berjaya menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua apabila sepakan Ronaldo yang tersasar dikuis oleh Tevez yang bergelut bersama pemain pertahanan Sporting, Marian Had.

Ronaldo mengesahkan United sebagai juara kumpulan dengan sepakan percuma pada minit ke-92 untuk memberi keselesaan kepada United apabila bertandang ke Rom dalam perlawanan terakhir nanti.

Roma mengiringi United dengan menewaskan Kiev 4-1 hasil jaringan Christian Panucci, Mirko Vucinic(2) dan Ludovic Giuly. Gol saguhati Dynamo Kiev dijaringkan oleh Ismael Bangoura.

Rangers memerlukan seri dalam perlawanan terakhir menentang Lyon setelah mereka ditewaskan Stuttgart 3-2.

Lyon terpaksa akur dengan keputusan seri apabila terikat 2-2 dengan Barcelona.

Andres Iniesta menjaringkan gol awal minit ke-3 namun sepakan percuma Juninho 4 minit berselang gagal disekat Victor Valdez.

Lionel Messi kembali meletakkan Barca di depan hasil daripada sepakan penalti setelah beliau dikasari dan Juninho sekali lagi menyelamatkan Lyon juga dengan sepakan penalti hasil kesilapan bekas pemain Lyon, Eric Abidal.

Arsenal tewas buat kali pertama musim ini setelah tunduk kepada Sevilla 3-1.

Eduardo Da Silva menewaskan Andres Palop pada minit ke-11 namun disamakan oleh Seydou Keita 13 minit kemudian menerusi satu rembatan cantik kaki kiri dari luar kotak penalti.

Pasukan tuan rumah mendahului 2-1 pada minit ke-34 apabila Luis Fabiano menanduk kencang bola hasil sepakan percuma Daniel Alves dan mereka menempah tket ke pusingan kedua sambil merampas kedudukan teratas daripada Arsenal apabila Kanoute menjaringkan gol dari sepakan penalti.

Slavia Prague memastikan tempat dalam Piala Uefa dengan keputusan seri 1-1 menentang Steau Bucharest.

Inter Milan turut ke pusingan kedua setelah menewaskan Fenerbahce 3-0 dalam aksi Kumpulan G.

Julio Cruz membuka tirai jaringan pada separuh masa kedua, minit ke-55 disusuli jaringan cantik Zlatan Ibrahimovic 11 minit kemudian. Luis Jimenez menyempurnakan kemenangan Inter dengan jaringan ke 3 pada saat-saat akhir.

PSV Eindhoven mencerahkan peluang mereka untuk menjadi antara 16 pasukan ke pusingan ke 2 setelah menewaskan CSKA Moskva 1-0 yang menyaksikan CSKA menghuni tangga tercorot .

Tuesday, November 27, 2007

Man Utd vs Sporting Lisbon


Cristiano Ronaldo dan Nani disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang kelab lama mereka, Sporting Lisbon.

John O’Shea, Darren Flatcher dan Tomasz Kuszczak turut disenaraikan dan kemungkinan Nemanja Vidic akan kembali menggantikan Gerard Pique.


Man Utd: Van der Sar, Kuszczak, Brown, Simpson, Ferdinand, Vidic, Evans, Evra, O'Shea, Ronaldo, Carrick, Anderson, Hargreaves, Fletcher, Nani, Giggs, Saha, Tevez.


Manchester United pastinya akan mencari kemenangan dalam perlawanan ini untuk meletakkan mereka sebagai juara kumpulan. Mereka boleh merehatkan pemain untuk perlawanan terakhir menentang Roma bagi memberi tumpuan perlawanan liga seterusnya menentang Liverpool.


Statistik

Manchester United telah layak ke pusingan kedua dan kemenangan menewaskan Sporting malam ini bakal menobatkan mereka selaku juara kumpulan.

Manchester United dan Sporting telah bertemu di peringkat Eropah sebanyak 3 kali sebelum ini. United menang 4-1 pada perlawanan pertama pada 1964 namun tewas perlawanan kedua di Lisbon 5-0. United menang 1-0 musim ini di Lisbon hasil jaringan Cristiano Ronaldo.

Manchester United adalah satu-satunya pasukan yang menang kesemua 4 perlawanan pertama musim ini. Mereka mencatatkan 8 kemenangan dan tidak tewas dalam 11 perlawanan di Old Traffold sejak ditewaskan oleh AC Milan 1-0 hasil jaringan Hernan Crespo pada 23 Februari 2005.

Sporting hanya menang 2 daripada 16 perlawanan terakhir mereka dalam Liga Juara-juara Eropah.


UEFA Champion League


Perlawanan hari ini – 27/11/07

CSKA Moskva vs PSV
Inter Milan vs Fanerbahce
Sevilla vs Arsenal
Steaua vs Slavia Prague
Stuggart vs Rangers
Lyon vs Barcelona
Dynamo Kiev vs Roma
Man United vs Sporting Lisbon


Esok – 28/11/07

Besiktas vs Marseille
Liverpool vs Porto
Rosenborg vs Chelsea
Valencia vs Schalke
Bremen vs Real Madrid
Lazio vs Olympiakos
Benfica vs AC Milan
Celtic vs Shakhtar


Semua perlawanan akan berlangsung pada pukul 3.45 pg waktu Malaysia kecuali CSKA Moskva vs PSV, 1.45 pg.

Monday, November 26, 2007

Latest Gossip

Fabio Capello menyalahkan percaturan taktik oleh Mclaren dan kelemahan psikologi pemain sambil menyifatkan pemain-pemain England gagal memikul tugas menyarung jersi kebangsaan atas kegagalan England melayakkan diri ke Euro 2008.

Sam Allardyce bersedia untuk berbincang dengan FA untuk menjadi pengurus England yang baru.

Jurgen Klinsmann berminat untuk menjadi pengurus England. Walaubagaimanapun beliau mahukan kuasa sepenuhnya termasuk melantik pembantu dan staf sokongan.

Michael Owen telah menghangatkan suasana sebelum kempen kelayakan Piala Dunia 2010 dengan menyatakan bahawa tiada seorang pun pemain Croatia yang layak bermain dalam pasukan England.

Derby County tidak lagi menaruh kepercayaan terhadap Billy Davies dan beliau akan dipecat dalam masa 24 jam.

Nasib Rafael Benitez ibarat telur di hujung tanduk dan beliau akan diberi pampas an £6 juta seandainya dipecat.

Walaubagaimanapun, penyokong Liverpool bakal melakukan protes terhadap Tom Hicks dan George Gillet pada perlawanan mesti menang menentang Porto minggu ini.

Benjani menolak tawaran £7 juta daripada Juventus dan menyatakan hasratnya untuk terus bersama Portsmouth.

Kaka telah dinamakan sebagai Pemain Terbaik Eropah Tahunan (European Footballer of the Year). Walaupun tidak rasmi, namun majalah yang memberi pengiktirafan tersebut iaitu France Football telah merancang untuk mengendalikan sesi fotografi bersama Kaka.

Thursday, November 22, 2007

England 2-3 Croatia


Croatia Tunjukkan England Jalan Keluar

Hanya keputusan seri diperlukan untuk membawa England ke Austria dan Switzerland tahun depan. Bermain di Wembley di hadapan penyokong sendiri nampaknya tidak memberi kelebihan kepada England apabila dijinakkan Croatia yang sudah pun melayakkan diri.

Risiko yang diambil Steve Mclaren nyata membawa padah. Keputusannya menggugurkan Paul Robinson dan digantikan dengan Scott Carson serta-merta digunakan Kranjcar pada minit ke-8 apabila rembatannya dari jarak 25m muntah dari dakapan Carson dan menerjah gawang England. Namun England sememangnya tidak mempunyai pilihan terbaik untuk menjaga pintu gol mereka kerana Paul Robinson dan David James juga tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan.

England yang bermain 4-5-1 bermula baik dengan cuba mencari gol awal dan Wright Phillips seharusnya meletakkan England di hadapan . Joe Cole memulakan gerakan dari sebelah kiri, menghantar bola kepada Crouch yang kemudiannya mengumpan untuk Wright Phillips yang seharusnya terus melakukan rembatan sebaliknya menahan bola terlebih dahulu sebelum sepakan lemah ke arah penjaga gol.

Lescott dan Campbell yang pertama kalinya digandingkan gagal mengekang Eduardo yang melorongkan bola kepada Olic sebelum menewaskan Carson yang masih tergamam buat kali kedua pada minit ke-14.

Percaturan 4-5-1 Mclaren gagal memberi impak sebaliknya Croatia yang lebih banyak mengawal permainan. Garreth Barry dan Gerrard gagal mengawal bahagian tengah dan Frank Lampard langsung tidak kelihatan. Begitu juga dengan Wayne Bridge yang bermain buruk dan sering kehilangan bola di sebelah kiri.

Setelah diejek penyokong England tamat separuh masa pertama, Mclaren memasukkan David Beckham untuk penampilan ke-99 dan mungkin yang terakhir baginya, juga Jermain Defoe untuk menggantikan Barry dan Wright Phillips. Mereka memerlukan 11 minit apabila Simunic menarik baju Defoe di dalam kotak penalti untuk memberikan sepakan penalti yang disempurnakan Frank Lampard pada minit ke-56. Mungkin sudah tertulis untuk Beckham menyelamatkan England dan beliau membuktikan khidmatnya masih diperlukan walaupun sering menerima kritikan. Hantaran lintang sempurnanya disambut Crouch yang merembat untuk gol penyamaan England 10 minit berselang.

Namun England sudah mula berpuas hati dengan seri dan cuba memperlahankan permainan dan Croatia mengambil kesempatan menghukum England apabila pemain gantian, Petric merembat dari jarak 20m menewaskan Carson yang tidak mampu berbuat apa-apa. Gandingan Gerrard dan Lampard ternyata tidak berhasil sepertimana yang ditunjukkan oleh mereka sebelum ini dan Wayne Bridge hampir-hampir menjaringkan gol sendiri apabila sepakannya melangkaui jangkauan Scott Carson sebelum sedikit melewati palang gol.

Kemasukan Darrent Bent di saat-saat akhir menggantikan Joe Cole tidak mampu untuk membawa England ke Euro 2008 apatah lagi menyelamatkan Steve Mclaren. Croatia bertahan dengan baik dan England buntu mencari gol dan tiupan wisel penamat pada minit ke-93 menandakan generasi yang dianggap ‘World Class Player’ gagal membawa kejayaan untuk England walaupun diletakkan dalam kumpulan yang mudah.

Formasi, faktor padang yang tidak baik, hujan, penjaga gol, Mclaren? Mungkin ada juga yang beranggapan David Beckham sepatutnya memulakan permainan dan bukannya Wright Phillips, Lampard sepatutnya diketepikan, England perlu bermain 4-4-2 dan menggunakan Hargreaves yang lebih terbukti di perngkat antarabangsa ataupun Mclaren tidak seharusnya mempertaruhkan nasibnya di tangan Scott Carson yang masih mentah.

Yang terbukti, pemain-pemain England bermain buruk dan sukar untuk melabelkan mereka sebagai ‘World Class’. Mereka gagal bermain sebagai satu pasukan, tiada sistem, bermain secara satu dimensi, tiada kreativiti dan lebih banyak melakukan hantaran-hantaran Hollywood 70m dengan penuh harapan.

Kegagalan ini memberi pengajaran kepada England, FA terutamanya yang melakukan kesilapan apabila melantik Mclaren sebagai jurulatih. Steve Mclaren menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan pada sidang media selepas perlawanan namun FA England pastinya akan menamatkan khidmatnya tidak lama lagi dengan Marcello Lippi, Scolari, Jose Mourinho dan Alan Shearer sudah pun diletakkan dalam senarai sebagai calon sesuai menggantikan Mclaren.