Thursday, November 29, 2007

Piala Dunia 1966 (England)

Piala Dunia 1966 kekal sebagai satu-satunya piala yang dimenangi England di pentas antarabangsa sehingga ke hari ini. Piala yang ketika itu dikenali sebagai Jules Rimet menjadi milik England pada 30 Julai 1966 di Stadium Wembley dengan disaksikan 98,000 penonton setelah menumpaskan Jerman Barat 4-2 secara kontroversi. Mereka menjadi pasukan tuan rumah pertama muncul pemenang selepas kali terakhir dilakukan oleh Itali pada 1934.

Menggunakan formasi 4-1-2-1-2 England diperkuatkan dengan barisan yang kini bergelar lagenda terdiri daripada Bobby Moore selaku ketua pasukan, Bobby Charlton, Jackie Charlton, George Cohen, Gordon Banks dan penyerang berbisa Geoff Hurst yang menjaringkan hatrik dalam perlawanan akhir.

Walaupun tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan, England menjuarai kumpulan yang dianggotai Uruguay, Perancis dan Mexico dan mereka berjaya mengharungi perlawanan-perlawanan getir sebelum ke aksi akhir. England menewaskan Argentina 1-0 di suku akhir hasil jaringan Geoff Hurst dan (Sir) Bobby Charlton menyumbat 2 gol untuk menewaskan pasukan pilihan, Portugal 2-0 yang ketika itu dibarisi pemain lagenda Benfica, Eusebio da Silva Ferreira yang juga penjaring terbanyak kejohanan dengan 9 gol.

Perlawanan akhir.

Disaksikan 98,000 penonton, England yang dipimpin (Sir) Alf Ramsey dikejutkan oleh gol awal Jerman Barat pada minit ke-12 apabila
Helmut Haller berjaya menewaskan Gordon Banks. England menyamakan kedudukan pada minit ke-19 hasil jaringan Hurst yang berjaya menampan bola dari sepakan percuma Moore.

Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama sehinggalah England memperoleh sepakan sudut pada minit ke-71. Alan Ball menghantar bola kepada Geoff Hurst yang menanduk bola untuk disudahkan oleh Martin Peters dengan satu sepakan cantik menewaskan penjaga gol Jerman Barat untuk England mendahului 2-1.

Namun England menghadiahkan sepakan percuma pada minit-minit terakhir menerusi kesilapan Jackie Charlton dan Wolfgang Weber menyudahkan jaringan untuk kedudukan 2-2 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan. Gol penyamaan Jerman agak kontroversi kerana pemain England mendakwa bola terlebih dahulu terkena tangan Karl-Heinz Schnellinger sebelum ke dalam kotak penalti.

Ketika 11 minit permainan masa tambahan berlangsung, Alan Ball melakukan hantaran lintang dan disambut oleh Hurst yang melakukan rembatan jarak dekat namun bola terkena palang sebelah dalam, melantun ke bawah di depan garisan gol sebelum dikeluarkan pertahanan Jerman.


Pengadil perlawanan, Gottfried Dienst tidak begitu pasti sama ada bola telah melintasi garisan gol ataupun tidak tetapi penjaga garisan dari USSR, Tofik Bakhramov yang berada dekat dengan kawasan penalti Jerman memberikan gol untuk England. Para penyokong dan lebih 400 juta penonton yang menyaksikan siaran secara langsung terus mepersoalkan sama ada gol tersebut patut diberikan. Gol ke-3 terus menjadi kontroversi sepanjang perlawanan.

Jerman yang nyata kecewa dengan keputusan pengadil terdesak mencari gol penyamaan dan mereka menghantar semua pemain ke kubu England seminit sebelum tamat permainan. Bobby Moore berjaya mematahkan serangan Jerman dan melakukan hantaran jauh kepada Hurst yang tidak dikawal. Hurst membawa bola berseorangan untuk menjaringkan gol ke-4 sambil sebahagian penyokong England sudah mula masuk ke padang.

Hurst memberitahu sejurus tamat perlawanan bahawa sepakannya sebenarnya hanyalah satu cubaan untuk menghantar bola sejauh mungkin ke tempat duduk penonton bagi melengahkan masa permainan.


Penyokong Jerman menyifatkan penjaga garisan, Tofik Bakhramov yang berasal dari Arzebaijan berat sebelah terutamanya kerana Russia ditewaskan oleh Jerman pada peringkat separuh akhir. Beliau kemudiannya memberikan penjelasan bahawa beliau percaya bola melantun setelah terkena jaring sebelah dalam dan bukannya palang. Sama ada ia melintasi garisan semasa ia melantun ke bawah tidak lagi menjadi soal. Pengadil perlawanan dari Switzerland, Gottfried Dienst yang dianggap antara pengadil terbaik ketika itu tidak melihat dengan jelas dan beliau sekali lagi dipersalahkan kerana memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah pada perlawana akhir Piala Eropah 2 tahun kemudian.

Pada tahun 1995, penyelidik dari Oxford University berjaya membuktikan bahawa bola tidak melepasi garisan gol dan gol tersebut tidak patut dikira setelah meneliti dengan teliti rakaman video dari pelbagai sudut.

Walaubagaimanapun, 30 Julai 1966 kekal menjadi tarikh keramat England menjuarai Piala Dunia buat kali pertama dan terakhir hingga ke hari ini.


Barisan pemain-pemain England:

Gordon Banks(GK), George Cohen, Jackie Charlton, Bobby Moore(C), Ray Wilson, Nobby Stiles, Alan Ball, Bobby Charlton, Martin Peters, Geoff Hurst, Roger Hunt

Pengurus: Alf Ramsey



No comments: