Thursday, November 22, 2007

England 2-3 Croatia


Croatia Tunjukkan England Jalan Keluar

Hanya keputusan seri diperlukan untuk membawa England ke Austria dan Switzerland tahun depan. Bermain di Wembley di hadapan penyokong sendiri nampaknya tidak memberi kelebihan kepada England apabila dijinakkan Croatia yang sudah pun melayakkan diri.

Risiko yang diambil Steve Mclaren nyata membawa padah. Keputusannya menggugurkan Paul Robinson dan digantikan dengan Scott Carson serta-merta digunakan Kranjcar pada minit ke-8 apabila rembatannya dari jarak 25m muntah dari dakapan Carson dan menerjah gawang England. Namun England sememangnya tidak mempunyai pilihan terbaik untuk menjaga pintu gol mereka kerana Paul Robinson dan David James juga tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan.

England yang bermain 4-5-1 bermula baik dengan cuba mencari gol awal dan Wright Phillips seharusnya meletakkan England di hadapan . Joe Cole memulakan gerakan dari sebelah kiri, menghantar bola kepada Crouch yang kemudiannya mengumpan untuk Wright Phillips yang seharusnya terus melakukan rembatan sebaliknya menahan bola terlebih dahulu sebelum sepakan lemah ke arah penjaga gol.

Lescott dan Campbell yang pertama kalinya digandingkan gagal mengekang Eduardo yang melorongkan bola kepada Olic sebelum menewaskan Carson yang masih tergamam buat kali kedua pada minit ke-14.

Percaturan 4-5-1 Mclaren gagal memberi impak sebaliknya Croatia yang lebih banyak mengawal permainan. Garreth Barry dan Gerrard gagal mengawal bahagian tengah dan Frank Lampard langsung tidak kelihatan. Begitu juga dengan Wayne Bridge yang bermain buruk dan sering kehilangan bola di sebelah kiri.

Setelah diejek penyokong England tamat separuh masa pertama, Mclaren memasukkan David Beckham untuk penampilan ke-99 dan mungkin yang terakhir baginya, juga Jermain Defoe untuk menggantikan Barry dan Wright Phillips. Mereka memerlukan 11 minit apabila Simunic menarik baju Defoe di dalam kotak penalti untuk memberikan sepakan penalti yang disempurnakan Frank Lampard pada minit ke-56. Mungkin sudah tertulis untuk Beckham menyelamatkan England dan beliau membuktikan khidmatnya masih diperlukan walaupun sering menerima kritikan. Hantaran lintang sempurnanya disambut Crouch yang merembat untuk gol penyamaan England 10 minit berselang.

Namun England sudah mula berpuas hati dengan seri dan cuba memperlahankan permainan dan Croatia mengambil kesempatan menghukum England apabila pemain gantian, Petric merembat dari jarak 20m menewaskan Carson yang tidak mampu berbuat apa-apa. Gandingan Gerrard dan Lampard ternyata tidak berhasil sepertimana yang ditunjukkan oleh mereka sebelum ini dan Wayne Bridge hampir-hampir menjaringkan gol sendiri apabila sepakannya melangkaui jangkauan Scott Carson sebelum sedikit melewati palang gol.

Kemasukan Darrent Bent di saat-saat akhir menggantikan Joe Cole tidak mampu untuk membawa England ke Euro 2008 apatah lagi menyelamatkan Steve Mclaren. Croatia bertahan dengan baik dan England buntu mencari gol dan tiupan wisel penamat pada minit ke-93 menandakan generasi yang dianggap ‘World Class Player’ gagal membawa kejayaan untuk England walaupun diletakkan dalam kumpulan yang mudah.

Formasi, faktor padang yang tidak baik, hujan, penjaga gol, Mclaren? Mungkin ada juga yang beranggapan David Beckham sepatutnya memulakan permainan dan bukannya Wright Phillips, Lampard sepatutnya diketepikan, England perlu bermain 4-4-2 dan menggunakan Hargreaves yang lebih terbukti di perngkat antarabangsa ataupun Mclaren tidak seharusnya mempertaruhkan nasibnya di tangan Scott Carson yang masih mentah.

Yang terbukti, pemain-pemain England bermain buruk dan sukar untuk melabelkan mereka sebagai ‘World Class’. Mereka gagal bermain sebagai satu pasukan, tiada sistem, bermain secara satu dimensi, tiada kreativiti dan lebih banyak melakukan hantaran-hantaran Hollywood 70m dengan penuh harapan.

Kegagalan ini memberi pengajaran kepada England, FA terutamanya yang melakukan kesilapan apabila melantik Mclaren sebagai jurulatih. Steve Mclaren menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan pada sidang media selepas perlawanan namun FA England pastinya akan menamatkan khidmatnya tidak lama lagi dengan Marcello Lippi, Scolari, Jose Mourinho dan Alan Shearer sudah pun diletakkan dalam senarai sebagai calon sesuai menggantikan Mclaren.

No comments: