Wednesday, November 28, 2007

Keputusan Penuh Uefa Champion League

Rangers dan Arsenal tewas manakala Manchester United menjaringkan gol masa kecederaan untuk menewaskan Sporting 2-1.

Inter Milan menempah tiket ke pusingan kedua setelah menewaskan Fenebahce dan diiringi satu lagi wakil Itali, AS Roma yang mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Dynamo Kiev.

Barcelona menjuarai Kumpulan E walaupun hanya seri 2-2 dengan Lyon di Stade Gerland.

Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi duri dalam daging untuk menghantui bekas kelabnya, Sporting Lisbon dengan satu sepakan bebas lewat permainan di Old Trafford.

Sporting terlebih dahulu mengejutkan penyokong tuan rumah apabila hantaran lintang Fernando Abel melencong ke penjuru gol untuk memperdayakan Tomasz Kuszcak minit ke-21

United berjaya menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua apabila sepakan Ronaldo yang tersasar dikuis oleh Tevez yang bergelut bersama pemain pertahanan Sporting, Marian Had.

Ronaldo mengesahkan United sebagai juara kumpulan dengan sepakan percuma pada minit ke-92 untuk memberi keselesaan kepada United apabila bertandang ke Rom dalam perlawanan terakhir nanti.

Roma mengiringi United dengan menewaskan Kiev 4-1 hasil jaringan Christian Panucci, Mirko Vucinic(2) dan Ludovic Giuly. Gol saguhati Dynamo Kiev dijaringkan oleh Ismael Bangoura.

Rangers memerlukan seri dalam perlawanan terakhir menentang Lyon setelah mereka ditewaskan Stuttgart 3-2.

Lyon terpaksa akur dengan keputusan seri apabila terikat 2-2 dengan Barcelona.

Andres Iniesta menjaringkan gol awal minit ke-3 namun sepakan percuma Juninho 4 minit berselang gagal disekat Victor Valdez.

Lionel Messi kembali meletakkan Barca di depan hasil daripada sepakan penalti setelah beliau dikasari dan Juninho sekali lagi menyelamatkan Lyon juga dengan sepakan penalti hasil kesilapan bekas pemain Lyon, Eric Abidal.

Arsenal tewas buat kali pertama musim ini setelah tunduk kepada Sevilla 3-1.

Eduardo Da Silva menewaskan Andres Palop pada minit ke-11 namun disamakan oleh Seydou Keita 13 minit kemudian menerusi satu rembatan cantik kaki kiri dari luar kotak penalti.

Pasukan tuan rumah mendahului 2-1 pada minit ke-34 apabila Luis Fabiano menanduk kencang bola hasil sepakan percuma Daniel Alves dan mereka menempah tket ke pusingan kedua sambil merampas kedudukan teratas daripada Arsenal apabila Kanoute menjaringkan gol dari sepakan penalti.

Slavia Prague memastikan tempat dalam Piala Uefa dengan keputusan seri 1-1 menentang Steau Bucharest.

Inter Milan turut ke pusingan kedua setelah menewaskan Fenerbahce 3-0 dalam aksi Kumpulan G.

Julio Cruz membuka tirai jaringan pada separuh masa kedua, minit ke-55 disusuli jaringan cantik Zlatan Ibrahimovic 11 minit kemudian. Luis Jimenez menyempurnakan kemenangan Inter dengan jaringan ke 3 pada saat-saat akhir.

PSV Eindhoven mencerahkan peluang mereka untuk menjadi antara 16 pasukan ke pusingan ke 2 setelah menewaskan CSKA Moskva 1-0 yang menyaksikan CSKA menghuni tangga tercorot .

No comments: