Wednesday, November 21, 2007

England vs Croatia

Peluang Mclaren Buktikan Kewibawaan.

England bakal mengharungi perlawanan terpenting dekad ini dengan keputusan seri sudah memadai buat mereka untuk layak ke pusingan akhir Euro 2008 di Austria dan Switzerland tahun depan.

Kekalahan Russia di tangan Israel Sabtu lalu kembali mencerahkan peluang England yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada Israel untuk mengubah keadaan.

Perlawanan ini dilihat sebagai kayu pengukur buat England dan Mclaren yang dikritik hebat sepanjang mengambil alih tugas sebagai jurulatih 11 bulan lalu. England kehilangan gandingan serangan berbisa dan pertahanan kental iaitu Michael Owen, Wayne Rooney, Rio Ferdinand dan John Terry akibat kecederaan dan keadaan ini sedikit meresahkan Mclaren. Namun inilah peluang terbaik untuk Mclaren membuktikan keupayaannya merancang strategi dengan barisan pemain yang ada.

Mclaren dilihat bakal menggunakan formasi 4-5-1 dengan meletakkan tiga pemain tengah yang terdiri daripada Steven Gerrard, Gareth Barry dan kemungkinan besar Frank Lampard yang sebelum ini diragui keupayaannya bermain bersama Gerrard. David Beckham dilaporkan cergas dan bakal melakukan penampilan ke-99 untuk England jika diturunkan. Walaubagaimanapun formasi 4-5-1 memungkinkan Mclaren menggunakan Wright Phillips dan Joe Cole di bahagian sayap dan memudahkan mereka bertukar kepada 4-3-3 ketika menyerang. David Beckham mungkin akan memanaskan bangku simpanan dan hanya diturunkan pada separuh masa kedua sahaja.

Peter Crouch akan bergerak sendirian di bahagian serangan kerana Mclaren tidak akan mempertaruhkan nasibnya di tangan Jermain Defoe dan Darren Bent yang masih mentah di peringkat antarabangsa terutamanya perlawanan penting seperti ini. Mclaren mungkin akan melakukan keputusan drastik menggugurkan Paul Robinson yang sering melakukan kesilapan terutamanya ketika England tewas 2-0 di tangan Croatia tahun lalu dan kesilapan beliau yang memberikan kemenangan 2-1 kepada Russia. Tempat beliau bakal digantikan oleh Scott Carson yang diberi kepercayaan oleh Mclaren dalam perlawanan persahabatan menentang Austria Sabtu lalu dan jika dinilai daripada prestasi semasa, Carson sememangnya lebih layak.

England hanya memerlukan seri untuk layak tetapi kemenangan dengan kelebihan 2 gol bakal menobatkan mereka selaku juara kumpulan dan menebus kekalahan 2-0 kepada Croatia tahun lalu. Bermain di Wembley pastinya akan memberikan kelebihan kepada England dan mereka mencatatkan kemenangan dalam semua perlawanan antarabangsa yang dilangsungkan di Wembley setakat ini. Perlawanan terakhir di gelanggang sendiri biasanya memberikan keputusan yang positif kepada England sepertimana yang berlaku pada 2001 dengan David Beckham menyempurnakan sepakan percuma pada minit-minit akhir menentang Greece untuk membawa England ke Piala dunia 2002.

Menang ataupun seri, keputusan ini pastinya akan menyelamatkan maruah Mclaren yang mungkin akan terus melaksanakan tugas beliau sebagai pengurus pasukan England dan berjaya melayakkkan diri ke Euro 2008 boleh disifatkan sebagai satu kejayaan untuk Mclaren setakat ini.

No comments: