Monday, November 19, 2007

Scotland Tewas Bermaruah

Impian Scotland untuk ke pusingan akhir Euro 2008 berakhir di tangan Itali sabtu lalu dalam aksi yang penuh dramatik di Hampden Park. Namun Scotland seharusnya berbangga dengan pencapaian mereka sepanjang pusingan kelayakan ini yang boleh disifatkan sebagai satu kejayaan gemilang buat mereka.

Ketika kempen Euro bermula 14 bulan lalu, ramai yang mempertikaikan keupayaan Scotland setelah mereka diletakkan di dalam kumpulan bersama juara dunia dan naib juara dunia iaitu Itali dan Perancis, juga Ukraine yang layak ke suku akhir Piala Dunia 2006 di Jerman.

Mampukah Scotland mencipta kemenangan? Siapakah yang mampu menjulang Scotland? Itulah persoalan yang bermain di fikiran masing-masing 14 bulan lalu. Tetapi dalam tempoh itu juga Scotland telah membuktikan mereka mampu bersaing malah menewaskan kuasa besar bolasepak dunia.

Mungkin mereka gagal membawa aura kejayaan menewaskan Perancis untuk menundukkan Itali sabtu lalu tetapi jika dinilai dari segi persembahan yang ditunjukkan oleh Scotland ditambah pula dengan ketinggalan 1-0 kepada Itali pada awal permainan, Scotland adalah satu pasukan yang hebat dan tidak keterlaluan jika dikatakan lebih hebat daripada jiran mereka, England yang memiliki sedozen pemain-pemain ternama.

Scotland mempamerkan permainan berkualiti dengan hantaran-hantaran pendek yang jarang dipamerkan oleh pasukan Inggeris dan mereka berjaya menyaingi Itali. Mereka melakukan satu serangan menarik malah yang terbaik sepanjang permainan pada separuh masa pertama yang melibatkan hantaran satu dua dan berjaya mengucar-kacirkan barisan Itali yang berkampung di dalam kawasan sendiri.

Tidak dinafikan keputusan perlawanan boleh menjadi sebaliknya seandainy James McFadden berjaya menyempurnakan peluang pada minit ke-80 ketika kedudukan 1-1, namun McFadden yang cemerlang sepanjang perlawanan sudah keletihan dan keadaan ini tidak membantu.

Di sebalik kekecewaan gagal ke pusingan akhir, Scotland sudah boleh mendabik dada dan berbangga dengan pencapaian mereka. Mereka seharusnya memandang ke hadapan terutamanya kelayakan Piala Dunia 2010. Mereka mempunyai barisan muda yang berbakat seperti pemain pertahanan, Alan Hutton yang tiba-tiba menjadi tumpuan dengan persemabahan memukau dan pada usia 22 tahun beliau suadah pasti akan menjadi ‘superstar’ seandainya terus mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.

Dengan munculnya pemain-pemain muda yang berbakat, Scotland pastinya akan mengulangi scenario bolasepak mereka pada era 70-an dan 80-an.

Alex Mcleish pula telah melakukan tugas yang cemerlang dengan membimbing Scotand dan menyatukan serta menyuntik semangat para pemain supaya tidak gentar menghadapi pasukan yang namanya lebih gah. Malah jika dilihat dari persembahan anak-anak buah Mcleish, nyata mereka berbangga menyarung jersi Scotland dan semangat ini akan terus dibawa untuk mengharungi kempen Piala Dunia akan datang.

No comments: