Wednesday, November 14, 2007

Peluang Scotland Lakar Sejarah

Scotland bakal berdepan Itali Sabtu ini dengan kemenangan akan membawa mereka ke pusingan akhir Euro 2008 di Austria dan Switzerland tahun depan.

Kejayaan ini bakal menjadi yang terbesar untuk Scotland. Mereka pernah berjaya mengharungi Euro dan Piala Dunia tetapi kali ini sememangnya berlainan.

Diletakkan di dalam kumpulan maut bersama-sama Itali, Perancis dan Ukraine, peluang Scotland dilihat begitu sukar dan mustahil. Kini hanya satu kemenangan diperlukan untuk membawa mereka melangkah ke pentas kejohanan antarabangsa buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun selepas kali terakhir melakukannya pada Piala Dunia 1998.

Seandainya Scotland gagal, pastinya lebih pahit memandangkan mereka telah sampai ke tahap ini dengan keputusan-keputusan di luar dugaan terutamanya 2 kemenangan ke atas Perancis yang disifatkan persembahan terbaik oleh mana-mana pasukan sepanjang pusingan kelayakan Euro kali ini.

Tugas berdepan Itali pastinya sukar buat Scotland yang tewas 2-0 dalam perlawanan pertama. Permainan berkualiti, disiplin, semangat berpasukan dan sorakan penonton di Hampden Park bakal menjadi penentu kejayaan Scotland.

Mereka harus melupakan kekalahan 2-0 di tangan Georgia bulan lalu sebaliknya memberikan persembahan terbaik menentang Itali.

Anak buah Mcleish’s perlu mencari gol awal dan mengawal kubu daripada dibocori kerana Itali pastinya mengamalkan corak bertahan pada awal permainan dan menunggu untuk serangan balas. Jika Itali mendahului 1-0, pastinya satu perjalanan pulang yang begitu jauh buat Scotland.

James McFadden sekali lagi akan menjadi pemain penting untuk Scotland kerana kehadirannya memberikan inspirasi di bahagian serangan. Begitu juga dengan gandingan 2 jentera pertahanan, David Weir dan Stephen Mcmanus yang mempamerkan aksi cemerlang setakat ini.

Scotland berpeluang mencipta sejarah sabtu ini dan terpulang kepada mereka untuk menggunakan peluang sebaik mungkin. Menang atau kalah, mereka sebenarnya telah kembali berada di landasan yang betul dalam peta bolasepak dunia.

No comments: