Monday, June 16, 2008

Kebangkitan Turki, Kehebatan Holland

Turki menamatkan saingan dalam kumpulan A dengan melakukan satu kebangkitan paling menarik dalam sejarah Euro apabila menewaskan Czech Republic 3-2. Ketinggalan 2-0 sehingga minit ke-62, harapan Turki untuk mara ke pusingan suku akhir kelihatan sudah berakhir. Namun jaringan pemain pertahanan, Turan pada minit ke75 membuka kembali peluang mereka untuk bersaing.

Ketika perlawanan hanya tinggal 3 minit untuk ditamatkan, Peter Cech yang dianggap sebagai penjaga gol terbaik dunia menghampakan harapan seluruh penyokong Czech Republic apabila gagal menangkap kemas bola hasil hantaran lintang dan Nihat Kahveci tidak menghadapi masalah untuk menolak masuk gol penyamaan Turki. 2 minit berselang Nihat sekali lagi menewaskan Peter Cech untuk memastikan perlawanan tidak perlu dilanjutkan sehingga ke penentuan sepakan penalti dan memastikan mereka layak bertemu Croatia di suku akhir. Walaubagaimanapun Turki bakal kehilangan khidmat penjaga gol utama mereka setelah Dimeral dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana menolak Jan Koller.

Switzerland pula menutup tirai aksi mereka dengan kejayaan menumpaskan Portugal yang beraksi tanpa 8 pemain utama. Walaubagaimanapun kekalahan ini tidak menjejaskan kedudukan Portugal selaku pendahulu Kumpulan A walaupun memiliki pungutan mata yang sama dengan Turki kerana keputusan aksi kedua-dua pasukan memihak kepada Portugal yang menumpaskan Turki 2-0 dalam perlawanan pertama.

Sebelum itu, dalam aksi Kumpulan D, Sepanyol mengesahkan tiket ke suku akhir dengan menewaskan Sweden 2-1. Jaringan Fernando Torres dan jaringan lewat permainan David Villa sudah cukup untuk meletakkan Sepanyol selaku juara kumpulan C,mengelak daripada bertemu Belanda. Greece pula terpaksa melupakan hasrat untuk mempertahankan kejuaraan apabila terpaksa pulang awal setelah tumpas buat kali kedua, kali ini di tangan Rusia. Perebutan satu lagi tempat ke suku akhir kini menjadi perebutan antara Russia dan Sweden yang akan bertarung dalam aksi terakhir kumpulan.

Aksi Kumpulan C terus menyaksikan penguasaan Holland dengan membelasah satu lagi finalis Piala Dunia 2006 iaitu Perancis dengan jaringan 4-1. Dirk Kyut, Arjen Robben, Robin Van Persie dan Wesley Sneijder meletakkan Holland selaku pasukan pilihan yang harus digeruni oleh pasukan lain. Perancis dan Itali kini terpaksa bertarung sesama sendiri dalam aksi terakhir Kumpulan C sambil mengharapkan Holland tidak akan memberikan laluan mudah kepada Romania.

Aksi Kumpulan B malam ini bakal menyaksikan perebutan satu lagi tempat ke suku akhir antara Jerman, Austria dan Poland. Jerman dilihat memiliki peluang yang cerah berbanding Austria dan Poland untuk mengiringi Croatia.

No comments: