Tuesday, June 10, 2008

Isu Perpindahan Ronaldo

Manchester United telah melaporkan tingkah laku Real Madrid berkenaan isu memancing Cristiano Ronaldo dari Old Trafford musim depan kepada FIFA sambil menegaskan bahawa Ronaldo tidak akan dijual. Sir Alex Ferguson sebelum ini telah menegaskan bahawa beliau sanggup merehatkan Ronaldo di bangku simpanan musim depan daripada menjualnya kepada Real Madrid. Beliau juga telah mengugut untuk melaporkan perkara ini kepada FIFA pada 27 Mei yang lalu.

Real Madrid bagaimanapun terus mengeluarkan khabar angin melalui tabloid mereka namun tidak pernah membuat sebarang rundingan untuk membeli pemain tersebut. Menurut sumber terkini, Real sanggup menawarkan 60 juta pound bersama Robinho kepada United walaupun sebelum ini United menyatakan mereka tidak melepaskan Ronaldo meskipun untuk 100 juta pound.

Kemunculan Ronaldo di Bernebeau akan menguntungkan Real Madrid dari segi penjualan jersey dan barangan mereka di Asia terutamanya sepertimana yang berlaku ketika Beckham menyertai mereka 5 tahun yang lalu. Real sebelum ini di dalam tabloidnya menyatakan akan membayar 300 000 ribu pound seminggu kepada Ronaldo, menjadikannya pemain yang menerima bayaran termahal.

Masalah ini timbul akibat sikap Ronaldo sendiri yang bermain dengan teka-teki dengan tidak memberikan kata putus tentang keputusannya. Beliau sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk bermain bersama Real Madrid memandangkan itu adalah impiannya semasa kecil di samping ingin menunaikan hasrat ibunya yang ingin melihatnya menyarung jersi Real Madrid. Ketika ditanya keputusannya selepas perlawanan akhir Liga Juara-juara menewaskan Chelsea, beliau menyatakan hasratnya untuk terus bersama United namun selepas itu masih tetap menyuarakan hasratnya untuk menyertai Real sambil menyifatkan "masa depan sukar diramal." Terbaru, Ronaldo menyuarakan bahawa beliau berminat untuk menyarung jersi Real seandainya mereka bersetuju dengan harga yang diletakkan United. Beliau juga tidak mahu memberi sebarang komen sehingga berakhirnya Euro 2008. Daripada desas-desus terkini mengatakan Ronaldo mungkin akan mengemukakan surat pelepasan kepada United bagi membolehkan beliau ke Real Madrid.

Daripada desas-desus ini, mungkin Ronaldo akan meninggalkan United musim depan. Beliau sudah mencapai segala-galanya di EPL dan mungkin juga beliau ingin mencari suasana baru. Ronaldo juga bukanlah pemain Inggeris yang mungkin akan bersama United untuk selama-lamanya dan Real Madrid dari segi sejarahnya adalah kelab terbaik di Eropah. Mungkin Ronaldo merasakan untuk menjadi pemain hebat, beliau perlu beraksi di Real Madrid sepertimana Zidane, Figo, Roberto Carlos, David Beckham dan Ronaldo. Namun era Galaticos itu sudah pun berakhir dan ketika ini Manchester United adalah yang terbaik.

Menurut Eric Cantona, keputusan untuk meninggalkan United ketika ini adalah keputusan yang salah memandangkan pasukan Alex ferguson sekarang memiliki masa depan yang cerah untuk terus menakluk Eropah.

Walaubagaimanapun, Eric menegaskan bahawa United tidak akan terjejas seandainya benar Ronaldo akan meninggalkan Old Trafford sambil menyifatkan United akan terus berkembang sebagai satu pasukan.

Ketika ini, semua keputusan terletak di tangan Ronaldo. Seandainya beliau memutuskan untuk menyertai Real, pasti hasratnya bakal menjadi kenyataan dan Sir Alex Ferguson tidak akan menyimpan pemain yang tidak mahu beraksi untuk United lagi.

No comments: