Monday, June 23, 2008

Belanda Tersungkur

Russia 3-1 Belanda

Guus Hiddink menjadi duri dalam daging buat Belanda apabila menyingkirkan negara kelahirannya daripada Euro 2008 dalam saingan suku akhir untuk menempah tiket ke separuh akhir bertemu sama ada Sepanyol atau pun Itali.

Belanda yang sebelum ini dletakkan sebagai pasukan pilihan setelah membelasah Itali, Perancis dan Romania gagal mengekalkan rentak yang sama sebaliknya tenggelam dalam asakan Russia yang diketuai Andrei Arshavin dan Roman Pavlyuchenko.

Belanda terpaksa beraksi tanpa Arjen Robben yang mengalami kecederaan paha namun mereka masih mampu turun dengan kesebelasan utama sepertimana ketika membenam Itali 3-0 di peringkat kumpulan. Van Nisterlrooy gagal menampan bola hasil sepakan percuma Van Der Vaart di depan gol dan bermula detik itu Russia lebih banyak mengawal permainan dan mengasak kubu Belanda. Roman Pavlyuchenko yang sebelum ini dikritik kerana banyak mensia-siakan peluang di depan gol tidak mengulangi kesilapannya sebaliknya menjaringkan gol pertama Russia pada minit ke-56.

Belanda yang terdesak mencari gol penyamaan gagal melakukan hantaran-hantaran kemas dan percaturan Hiddink nyata membuahkan hasil. Ketika Russia sudah kelihatan bakal ke peringkat separuh akhir buat kali pertama selepas 20 tahun, Van Nistelrooy mengejutkan barisan Russia apabila berjaya menanduk masuk gol penyamaan yang berpunca daripada sepakan percuma Wesley Sneijder minit ke-86 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Namun skuad kendalian Van Basten kelihatan tidak bermaya untuk menharungi tempoh 120 minit dan keadaan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Russia. Arshavin meletakkan dirinya sebagai antara calon pemain terbaik kejohanan apabila hantaran lambungnya setelah mengucar-kacirkan pertahanan Belanda gagal dikeluarkan oleh Van Der Sar dan mudah ditampan masuk oleh Torbinsky minit ke-112. Van Der Sar yang bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Russia sebelum itu akhirnya tertewas lagi menerusi rembatan leret Arshavin di celah-celah kakinya 5 minit sebelum tamat.
Van Basten yang menjulang Euro pada tahun 1988 sebagai pemain gagal meneruskan impiannya untuk menjulang piala yang sama sebagai jurulatih dan segala-galanya berakhir di tangan seorang lagi rakyat Belanda, Guus Hiddink.
Kejayaan Russia ke separuh akhir mengubat luka Hiddink setelah tersingkir di peringkat suku akhir 1996, tewas di tangan Perancis melalui penentuan sepakan penalti.

Fakta perlawanan

Belanda tersingkir dari suku akhir kejohanan Euro buat kali kedua setelah tersingkir di peringkat yang sama pada 1996, yang ketika itu dikendalikan oleh Guus Hiddink.
Edwin Van Der Sar berjaya menyamai rekod penampilan Euro oleh Lilian Thuram iatu 16 penampilan.
Russia layak ke peringkat separuh akhir buat kali pertama sejak melakukannya pada 1988 yang ketika itu masih dalam Kesatuan Soviet (Soviet Union).
Ruud Van Nistelrooy menjaringkan gol keenamnya dalam Euro, meletakkan beliau di tempat ke-3 di belakang Alan Shearer (7) dan Michel Platini (9) sebagai penjaring terbanyak kejohanan Eropah.

Apple Store

No comments: