Friday, June 13, 2008

Croatia Kejutkan Jerman

Croatia mencatatkan keputusan di luar jangkaan ke atas pasukan pilihan, Jerman apabila jaringan Darijo Srna dan Ivica Olic sudah cukup memberikan kemenangan 2-1. Jerman yang diramal tidak menghadapi kesukaran ke pusingan suku akhir kini terpaksa menghitung nasib dalam perlawanan terakhir bertemu Austria dan kemungkinan besar terpaksa bertemu Portugal di suku akhir.

Dalam perlawanan pagi tadi, Croatia berjaya mengawal bahagian tengah dengan Loca Modric, Nico Kovak dan Nico Kranjcar sukar digugat gandingan Ballack dan Frings. Jerman yang mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Poland gagal mengulangi kecemerlangan mereka dan percaturan Billic nyata berhasil apabila pada minit ke-24 hantaran Danijel Pranjic berjaya disambar Darijo Srna menewaskan Jansen dan Lehman untuk gol pertama Croatia. Mereka hampir menambah jaringan namun percubaan Kranjcar berjaya ditepis Lehman untuk memastikan Jerman terselamat.

Jerman melakukan pertukaran pemain pada separuh masa kedua, memasukkan Odonkor menggantikan Jansen yang kelihatan gagal menghalang gerakan Croatia dari sebelah kanan. Walaubagaimanapun Croatia berjaya mendapatkan gol kedua apabila hantaran silang Ivan Rakitic terkena badan Lucas Podolski sebelum membias tiang gol. Lehman gagal menyelamatkan keadaan dan kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh Olic untuk menolak mudah gol ke-2.

Jerman yang cuba bangkit mencari gol memasukkan Bastian Schweinsteiger pada minit ke-65 dan usaha Jerman berhasil apabila Lucas Podolski merembat kencang menewaskan Pletikosa untuk gol tunggal Jerman minit ke-78.

Hasrat Jerman untuk mencari gol penyamaan pada minit akhir perlawanan musnah apabila Schweinsteiger dilayangkan kad merah setelah dilihat membalas terjahan Jerko Leko. Kekalahan ini meletakkan Croatia selaku juara Kumpulan B dan layak ke pusingan suku akhir selain berjaya mengelak daripada bertemu satu lagi pasukan pilihan iaitu Portugal.

No comments: