Thursday, June 12, 2008

Portugal ke Suku Akhir

Inspirasi Cristiano Ronaldo membantu Portugal melayakkan diri ke pusingan suku akhir Euro 2008 setelah menundukkan Republik Czech 3-1 dalam aksi kumpulan A semalam.

Portugal membuka tirai jaringan seawal minit ke-8 menerusi Deco hasil gerakan satu dua Ronaldo dan Nuno Gomes. Peter Cech berjaya menghalang gerakan Ronaldo namun Deco berjaya menolak masuk bola ke dalam gawang walaupun cuba dihalang pemain pertahanan Czech.
Portugal walaubagaimanapun tersentak dengan gol penyamaan Republik Czech pada minit ke 16 hasil tandukan kencang Sionko, berpunca daripada sepakan penjuru. Terikat 1-1 kedua-dua pasukan menggandakan asakan dengan Portugal lebih banyak mengawal permainan. Czech yang melakukan serangan balas hampir menambah jaringan namun penjaring terbanyak Euro 2004, Milan Baros gagal menyudahkan peluang di depan gol.

Separuh masa kedua menyaksikan penguasaan sepenuhnya oleh Portugal dan mereka berjaya menambah gol menerusi rembatan leret Cristiano Ronaldo berpunca daripada lorongan Deco. Republic Czech yang terdesak mencari gol membawa masuk penyerang gergasi mereka, Jan Koller dan melakukan asakan demi asakan ke kubu Portugal namun tandukan Sionko berjaya ditepis keluar Ricardo.

Hasil daripada sepakan percuma pantas, Ronaldo berjaya melepasi perangkap offside sebelum melorongkan bola kepada Quaresma untuk jaringan ke-3 Portugal, minit ke-90.

Dalam perlawanan lain, Turki bangkit dari ketinggalan 1 gol untuk menewaskan Switzerland 2-1 bagi memastikan persaingan merebut satu lagi tempat ke suku akhir bersama Czech dalam perlawanan terakhir kumpulan.

No comments: