Friday, June 20, 2008

Jerman Jinakkan Portugal

Jerman 3 - 2 Portugal

Jerman muncul pasukan pertama menempah tiket ke separuh akhir Euro buat kali pertama sejak 1996 setelah menjinakkan pasukan pilihan, Portugal 3-2 dalam aksi suku akhir pertama pagi tadi.

Skuad bimbingan Luiz Felipe Scolari yang dibarisi bakal pemenang "Pemain Terbaik Dunia" tahun ini, Cristiano Ronaldo terpaksa tunduk kepada percaturan taktikal Jerman yang membariskan 5 pemain di bahagian tengah dengan Bastian Schweinsteiger kembali beraksi setelah penggantungan.

Jerman menjaringkan 2 gol dalam tempoh 4 minit separuh masa pertama menerusi Schweinsteiger minit ke-22 dan Klose minit ke-26. Berpunca daripada hantaran Lucas Podolski dari sebelah kiri, Schweinsteiger pantas menampan bola untuk menewaskan Ricardo dan sepakan percuma beliau 4 minit kemudian ditanduk kemas Klose untuk jaringan kedua Jerman.

Portugal mensia-siakan peluang terbaik mereka menerusi Pepe apabila tandukan beliau di depan pintu gol melepasi palang. Berpunca daripada hantaran Simao, Ronaldo berjaya melakukan percubaan ke arah pintu gol Jerman namun berjaya ditepis Lehman dan Nuno Gomez pantas menolak masuk bola muntah di depan gol walaupun cuba diselamatkan oleh Christoph Metzelder.

Skuad Portugal yang sebelum ini dilihat memiliki kelebihan gagal mengekang asakan Jerman dan berpunca daripada sepakan percuma Schweinsteiger, Jerman menambah gol ketiga apabila Ballack gagal dikekang rakan sepasukan beliau di Chelsea, Paulo Ferreira untuk menanduk masuk menewaskan Ricardo dari sudut yang sama seperti gol kedua.

Portugal kehilangan momentum dan Lucas Podolski hampir menambah gol keempat Jerman namun rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri tiang gol Portugal. Kemasukan Nani dan Postiga memberikan sedikit harapan buat skuad Scolari apabila Postiga menanduk masuk gol kedua Portugal setelah menerima hantaran lintang daripada Nani pada minit ke-87.

Walaubagaimanapun Jerman menampilkan aksi kemas sepanjang tempoh 4 minit masa kecederaan untuk memastikan mereka layak ke separuh akhir, menghampakan Portugal yang membawa harapan besar setelah gagal pada perlawanan akhir Euro 2004 di tangan Greece.

Kekecewaan jelas terbayang di wajah Scolari yang selepas ini perlu memikirkan masa depannya bersama Chelsea setelah gagal membawa Portugal menjulang Portugal menjulang sebarang piala dalam tempoh hampir 6 tahun perkhidmatannya. Begitu juga Cristiano Ronaldo yang dilanda kontoversi perpindahannya ke Real Madrid semenjak sebelum kempen Euro 2008 bermula dan beliau perlu memberi kata putus untuk menamatkan segala teki-teki yang sedikit sebanyak mengganggu konsentrasinya sepanjang Euro kali ini.

Bagi Jerman, kemenangan ini meletakkan mereka di landasan tepat untuk mengulangi kejayaan menjulang Euro 1996 selain menebus kekecewaan tersingkir awal pada 2000 setelah dibelasah Portugal dan tewas 2004 di tangan Czech Republic.


Site Build It!

1 comment:

Anonymous said...

Saya tidak menyangka bahwa Portugal bisa terhenti di babak perempat final.