Wednesday, June 18, 2008

Perancis Tersungkur

Kecederaan Frank Ribery dan layangan kad merah ke atas Eric Abidal membawa malang buat Perancis apabila tewas 2-0 kepada Itali dan gagal ke pusingan suku akhir.
Andrea Pirlo meletakkan Itali di depan setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-25 berpunca daripada kesilapan Abidal menjatuhkan Luca Toni dalam petak penalti. Abidal dilayangkan kad merah, menambah derita Perancis setelah kehilangan khidmat Ribery yang dibentes Zambrotta awal permainan.

Kemasukan Samir Nasri gagal memberi impak di bahagian tengah dan Tierry Henry gagal membantu Perancis mencari gol penyamaan. Sebaliknya beliau menghadiahkan Itali gol kedua apabila sepakan percuma Daniele De Rossi terkena kaki Henry sebelum menerjah jaring.

Kedua-dua pasukan perlu menang untuk menempah tiket bertemu Sepanyol pada peringkat suku akhir di Vienna Ahad ini sambil mengharapkan Romania gagal menumpaskan Belanda. Walaubagaimanapun Belanda yang membariskan kesebelasan kedua mereka melengkapkan kemenangan hatrik ke atas Romania dan keputusan ini meletakkan Itali selaku naib juara Kumpulan C. Namun mereka bakal berdepan Sepanyol tanpa khidmat 2 tonggak utama mereka, Gennaro Gattuso dan Andrea Pirlo yang digantung perlawanan setelah kedua-duanya menerima kad kuning.

Raymond Domenech melakukan pertukaran di bahagian pertahanan dengan membariskan semula Eric Abidal menggantikan Lilian Thuram yang kelihatan goyah dalam perlawanan yang menyaksikan Perancis dibelasah Belanda 4-1. Namun keputusan ini nyata memberi padah kepada Perancis yang terpaksa bermain 10 pemain sepanjang 65 minit.

Itali berjaya menebus kekecewaan mereka setelah tersingkir awal pada Euro 2004 manakala Perancis tersungkur dengan hanya mampu menjaringkan 1 gol sepanjang kejohanan, mengingatkan kembali persembahan hambar mereka pada Piala Dunia 2002 ketika Zidane dilanda kecederaan. Ketiadaan Zidane buat pertama kalinya dalam tempoh sedekad dalam kejohanan antarabangsa memberi tamparan hebat buat Perancis dengan barisan generasi emas sudah menghampiri penghujung karier masing-masing dan barisan muda gagal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zidane, menandakan juga berakhirnya dinasti Domenech.
Pertarungan suku akhir pastinya lebih sengit dengan pasukan seperti Belanda, Croatia dan Sepanyol masih belum tewas selain pertembungan 2 pasukan pilihan iaitu Portugal dan Jerman.

Perlawanan suku akhir:

- Jerman vs Portugal

- Croatia vs Turki

- Itali vs Sepanyol

- Belanda vs Sweden/Russia





3 comments:

Unknown said...

Padan muka Perancis. banyak sangat kuda tua. Mana boleh menang. Haha...

Unknown said...

Itali nasib baik je. France main 10 org. Dengan Spain nanti tau la!

Anonymous said...

Salam singgah,

Nak exchange link tak? TQ :)

http://qistina-collections.blogspot.com/